4 penjuru di Titiwangsa, OKU tidak sempat serah borang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pesara swasta, Habib Bourguiba Abd Hamid, 53, untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa tidak kesampaian apabila gagal menyerahkan borang penamaan calon dalam tempoh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

- Advertisement -

Beliau yang juga merupakan orang kelainan upaya separa penglihatan lewat tiba ke pusat penamaan calon (PPC) Parlimen Titiwangsa beberapa minit selepas SPR mengisytiharan penutupan tempoh penamaan calon.

Menurut Habib kelewatannya itu adalah disebabkan masalah lalu lintas dan kesesakan jalan raya.

Beliau bergerak dari kediamannya di Keramat pada jam 8.50 pagi dan tiba di sekitar lokasi PPC, Sekolah Menegah Kebangsaan Aminudin Baki pada jam 9.55 pagi.

Bagaimanapun, gagal menyerahkan borang penamaan calon apabila tiba di lokasi beberapa minit selepas Pegawai Pengurus SPR, Firdzaus Said membuat pengisytiharan tamat tempoh menghantar borang penamaan calon.

Kecewa kerana dihalang untuk masuk ke PPC, Habib Bourguiba mempertikaikan tindakan SPR dan mengharapkan budi bicara untuk pencalonannya.

“Saya akan pertikaikan, kenapa nak aniaya saya? Kenapa tidak boleh terima saya, ini budi bicara, kenapa nak beza-bezakan? Kita semua ciptaan Allah,” katanya.

Pegawai Pengurus SPR, Firzdaus Said memberi penjelasan kepada Habib Bourguiba Abd Hamid berbaju putih di hadapan PPC, SMK Aminuddin Baki.

Bagaimanapun, Firdzaus tampil bertemu dengan Habib Bourguiba memberi penjelasan mengenai peraturan yang perlu dipatuhi Pegawai Pengurus SPR, untuk tidak menerima sebarang pencalonan selepas pengisytiharan penutupan menghantar borang pencalonan, iaitu tepat jam 10 pagi.

Jam 10.45 pagi, SPR mengesahkan menerima pencalonan daripada empat individu mewakili parti masing-masing bagi Parlimen Titiwangsa.

Kata Firdzaus, tiada sebarang pencalonan ditolak dan beliau berpuas hati dengan keempat-empat individu.

Justeru, Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertembungan empat penjuru, calon PERIKATAN NASIONAL diwakili oleh Dr Rosni Adam, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN), Khalid Samad (PH), dan Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang).

Sebelum ini, penyandang Parlimen Titiwangsa adalah Datuk Seri Rina Harun atas tiket PKR dengan majoriti undi 4,139 menewaskan BN (Johari) dan PAS (Mohammad Noor Mohamad). – HARAKAHDAILY 5/11/2022

- Advertisement -