Kekal sihat di musim pilihan raya

- Advertisement -

PRU15 semakin hampir. Debarannya tidak sahaja terasa di Malaysia, namun juga di kalangan rakyat Malaysia yang jauh dari tanah air. 

- Advertisement -

Cuma kemeriahannya benar-benar terasa di kawasan pengundian. Rata-rata calon, pendukung dan penyokong parti sedang bekerja keras menjelang hari penamaan calon seterusnya menanti hari memangkah undi. 

Dalam kesungguhan bekerja, pastikan setiap kita kekal menjaga kesihatan diri. Jangkitan virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19 masih berlegar di sekeliling kita begitu juga kemungkinan jangkitan virus influenza dan virus respiratory syncytial (RSV) apabila musim tengkujuh bermula. 

Jangkitan lebih mudah merebak apabila kita berkumpul dalam jumlah yang ramai, berinteraksi secara dekat dan berada di ruang yang mempunyai pengudaraan yang tidak efisien. 

Jika mengalami simptom demam, batuk atau selsema, pastikan kita memakai pelitup muka (facemask) bagi melindungi orang di sekeliling kita dari jangkitan.

Jarakkan diri dengan orang lain sewaktu berinteraksi. Pensanitasi tangan (hand sanitizer) sangat diperlukan terutama jika kita sering bersentuhan dalam bentuk berjabat tangan dan sebagainya. 

Biarpun sebuk dengan agenda memenangkan calon pilihan, pastikan diet kita teratur termasuk mengambil air yang cukup (sebaiknya tanpa gula),  mengambil serat dari buah-buahan dan sayuran, memperuntukkan masa untuk berehat dan bijak mengawal tekanan. 

Parti memerlukan calon, penyokong dan pendukung yang sihat sebelum pengundian, semasa dan selepas PRU berakhir. Oleh itu berikan diri kita haknya. 

Seeru a’la barakatillah.

DR. HANI’AH ABDULLAH 
Alderley Park – HARAKAHDAILY 4/11/2022 

- Advertisement -