PRU15: Nasihat Timbalan Presiden kepada semua

- Advertisement -

PEMBAHAGIAN kerusi dah siap dibuat. Calon pun dah siap dalam senarai. Menunggu pengumuman sahaja. Kerja sekarang fokus ialah untuk mencapai kemenangan di kerusi kita bertanding. Susun dan bantu capai strategi tepat, gerak kerja perlu tersusun. Jangan banyak nakhoda. Pengarahan biar satu sahaja.

- Advertisement -

Masa ini bukan nak cari kelemahan dan kesalahan. Tapi nak tutup kelemahan dan bina reputasi positif dalam kalangan pengundi. Bila kita dah buat keputusan, melalui puluhan perbincangan, perundingan, perbahasan maka tawakallah kepada Allah. Semoga Allah beri kemenangan kepada PN.

Kepada yang diamanahkan bertanding, teruskan mendekati pengundi. Jaga kebajikan petugas. Ada petugas belakang tabir, mereka tidak dikenali dan disanjung, tidak ke hadapan dalam majlis namun terus bekerja mengharapkan kemenangan calon. Raikan mereka dalam majlis dan doa.

Kepada yang tidak terpilih, terimalah dengan lapang dada kerana Allah angkat taklif dari kita, meringankan hisab di akhirat. Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah. 

Kekal bersama jemaah, kerana hidup bukan hanya hari ini. Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini. Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jemaah.

Jangan rasa hebat bila boleh melawan perjuangan Islam, dan jangan rasa hebat sekalipun kamu berjaya mengalahkan perjuangan Islam. Sentiasa berhati-hati dengan tipu daya syaitan, meniup nafsu sombong, kecewa dan rasa hebat. 

Kepada Allah kita mohon dipandukan kehidupan, kerana perjalanan hidup perlukan keberkatan dari Allah.

Akhukum fillah,

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
1 November 2022 – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -