Kalau mereka khianat, kita akan serang habis-habisan! – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kita beri amaran dan peringatan supaya (ahli) yang kecewa tidak dicalonkan tidak khianat kepada perjuangan rakyat ini, insya-Allah. Kita juga beri amaran bahawa mana-mana (ahli) yang tidak terpilih kalau mereka khianat (lompat parti), kita akan hentam (lawan) dia, kita akan serang dia habis-habisan. Pastikan tiada pengkhianatan dalam kalangan kita.”

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian semasa berucap pada majlis pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam ini. 

Menurut beliau, dalam memilih calon-calon untuk pilihan raya untuk satu kawasan Parlimen hanya seorang ahli yang dipilih sebagai calon untuk bertanding.

“Begitu juga untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya seorang sahaja yang dipilih. Kita mempunyai ramai ahli yang berwibawa. Mereka mempunyai kemampanan, yang cukup syarat-syarat kepimpinan yang baik.

“Namun dalam membuat pemilihan, kita terpaksa memilih hanya seorang dalam kalangan mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, oleh kerana itu setiap pemimpin yang diumumkan sebagai calon yang bertanding pada malam ini perlu dan telah melalui proses pemilihan yang jitu.

“Kalau dalam PAS, ia (pemilihan calon-calon) disemak, diteliti oleh majlis syurak ulamak. Ini bukan hanya untuk pastikan calon-calon yang terpilih tidak melakukan dosa besar, tetapi dalam masa yang sama, mereka mampu melaksanakan amanah tersebut.

“Kesemua calon yang terpilih telah bersumpah dengan nama Allah SAW untuk melaksanakan tanggungjawab dan tidak khianat kepada rakyat yang memilihnya (dalam PRU15 kelak),” ujarnya.

Tambah beliau, negara perlu diuruskan oleh pemimpin yang bukan hanya bijak pandai tetapi memenuhi ciri-ciri dan sifat amanah.

“Tanggungjawab ini menuntut kita semua, rakyat memilih pemimpin manakala tanggungjawab kami  pimpinan memastikan calon-calon yang tuan-tuan pilih benar-benar berwibawa, memenuhi ciri-ciri  kriteria yang sepatutnya tuan-tuan pilih,” katanya.

Hala tuju yang jelas, ujar Tuan Ibrahim, adalah diperlukan bagi pembinaan sebuah negara bangsa, dan dalam meletakkan matlamat yang ingin dicapai. 

“Maka, nakhoda yang melayari dan memandu kita semua mestilah terdiri daripada tokoh kepimpinan yang bersih, yang menentang rasuah, yang menentang salah guna kuasa, yang menentang kezaliman dan menentang penyelewengan.

“Mana mungkin rakyat mahu pilih Perdana Menteri (pemimpin) yang sering ulang alik ke mahkamah, yang terkenal sebagai banduan, yang tak  tahu ke mana hala tuju negara mahu dibawa,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau berharap rakyat dapat menilai sendiri situasi semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). 

Beliau yakin rakyat sekarang menanti sebuah kepimpinan PERIKATAN NASIONAL untuk menerajui negara pada masa hadapan.

“Insya-Allah, kita bersama-sama bergabung tenaga membina dan membangunkan masyarakat kita, tanggungjawab kita besar. 

“Bukan hanya boleh dibeli dengan beberapa ringgit undi kita. Jangan terpengaruh dengan budaya politik liar yang lama, kita perlu hala tuju yang baharu,” ujar Tuan Ibrahim.

Tambah beliau, usaha dan gerak kerja (dalam menghadapi PRU15) perlu diteruskan dan semangat dibawa bersama-sama ke setiap peti undi bagi memastikan kemenangan dicapai.

“Ikhlaslah kita dalam perjuangan. Sabar dalam tindakan. Patuh dan taat kepada arahan pimpinan, dan dalam waktu yang sama, perkukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana tanpa pertolongan Allah SWT, kita tidak akan mencapai kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -