Kelantan peruntuk RM7.2 juta sagu hati pelajar cemerlang

Foto: RIZAL TAHIR
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan sebanyak RM7.224 juta sebagai sagu hati kepada 14,448 pelajar cemerlang dalam semua kategori peperiksaan sejak 16 tahun lalu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sumbangan berkenaan diberi sebanyak RM500 kepada setiap pelajar cemerlang termasuk anak Kelantan yang belajar di luar negeri itu.

Menurutnya, bagi pelajar cemerlang tahun 2021 seramai 566 orang menerima sumbangan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM283,000.

“Sumbangan itu diberi sebagai motivasi kepada pelajar terbabit supaya lebih cemerlang ketika melanjut pelajaran ke menara gading.

“Mudah-mudahan ia akan menjadi contoh kepada adik beradik sendiri serta masyarakat untuk bersungguh-sungguh mencapai cita-cita yang diimpikan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 di Dewan Johor, KIAS petang semalam.

Beliau juga berkata, pelajar yang belajar di Yayasan Islam Kelantan (YIK) bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan semata-mata, sebaliknya ramai berjaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi.

Kata beliau kalau dahulu pelajar aliran agama dianggap akan berkhidmat sebagai seorang guru agama atau imam semata-mata.

“Namun sekarang lepasan sekolah agama cemerlang dalam pelbagai bidang profesional termasuk doktor dan jurutera.

“Malah ada seorang pelajar di sebuah sekolah tahfiz YIK mendapat tajaan belajar dari JPA untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Perancis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/11/22

- Advertisement -