Kelantan kekal sifar rasuah, kerajaan integriti

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: PAS tidak masuk campur terhadap pergolakan yang berlaku membabitkan Parti Amanah Negara (Amanah) ketika menghadapi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekarang.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat boleh membuat penilaian sejauh mana keikhlasan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terbabit.

Katanya, pergolakan dalaman parti itu tiada kaitan dengan PAS.

“Itu sebab negara kita amalkan kebebasan bersuara masing-masing ada hak, tetapi kita percaya rakyat termasuk pengundi boleh membuat penilaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Amanat Khas sempena 32 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang bertemakan 32 Tahun MBI ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’. Hadir sama Speaker DUN Kelantan, Dato’ Abdullah Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad.

Media sebelum ini melaporkan Amanah bergolak apabila Pengerusi Amanah Kedah, Dato’ Phalrolrazi Mohd Zawawi dipecat kerana mempertikaikan calon Parlimen Jerai diberi kepada DAP.

Malah pergolakan juga berlaku di Pasir Puteh, Kelantan apabila calon Amanah ditolak ahli jawatankuasa parti terbabit. Isu serupa juga berlaku di Johor.

Sementara itu Menteri Besar berkata, kepimpinan kerajaan negeri terus diberi kepercayaan rakyat Kelantan kerana berjaya mengekalkan sebuah kerajaan berintegriti dan sifar rasuah.

Katanya, rakyat Kelantan teguh dan istiqamah mempertahankan dasar tersebut atas sebab keyakinan mereka terhadap sebuah pentadbiran bersih dan stabil di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

“Kejayaan-kejayaan tersebut meletakkan pentadbiran ini mencapai 32 tahun kegemilangannya dalam menjulang syiar Islam, memakmurkan negeri dan membela kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada program tersebut. – HARAKAHDAILY 1/11/22

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!