ALOR SETAR: Kewibawaan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).
Summugam a/l Rengasamy (PKR-Bukit Selambau) dalam ucapan perbahasannya sempena Bajet Kedah 2023 mengakui akan potensi dan bakat kepimpinan yang ada pada diri Menteri Besar Kedah itu.
“Saya lihat ADUN Jeneri (MB) berpotensi dan mampu menjadi presiden parti pada suatu hari nanti,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana mengajak serta melibatkan ADUN pembangkang bersama-sama pada lawatan Ke Surabaya, baru-baru ini.
Beliau yang bersama-sama mengikuti delegasi itu banyak mendapat ilmu serta pengalaman dengan kejayaan negara luar.
“Banyak perkara boleh ditiru di sana (Surabaya). Tempatnya bersih, rakyatnya berdisiplin dan tiada pengemis di sana,” ulasnya penuh semangat.
Justeru, ADUN Bukit Selambau itu juga mengharapkan agar rakyat khususnya di Kedah dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan program yang dirancang untuk kebaikan semua pihak. – HARAKAHDAILY 1/11/2022