Oleh NURSAM MOHAMMAD
PAPAR: Dewan Pemuda PAS berganding tenaga dengan Armada Papar menganjur program Bicara Santai Anak Muda sebagai usaha mendekati anak-anak muda di kawasan berkenaan.
Program itu bertema ‘Pemimpin Muda Unggul’ diadakan di ruang legar The Palm Condominium Kinarut malam semalam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah berkata, Pemuda PAS dan Armada Bersatu menjalinkan kerjasama mendekati anak-anak muda melalui program santai.
Katanya, program seperti itu lebih dekat dengan anak-anak muda di samping menampilkan bakat-bakat muda membuat persembahan.
“Anak muda perlu berpartisipasi dalam apa-apa bentuk organisasi sama ada parti politik, persatuan atau kelab bagi mengasah diri menjadi individu penting dalam masyarakat,” katanya pada program tersebut.
Sempena program terbabit diadakan deklamasi sajak, puisi, nyanyian penghibur jalanan (buskers) dan bercerita perihal perjuangan Rasulullah s.a.w.
Hendri juga berkata, pemimpin muda yang ingin menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang perlu mencontohi keperibadian Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan akhlak mulia.
Hadir sama program tersebut Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Dato’ Armizan Mohd Ali, Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah Adsman Jupri dan Ketua Armada Bersatu Papar Azrul Ibrahim. – HARAKAHDAILY 31/10/2022