MBI tidak terokai dan melombong REE

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan penglibatan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dalam sebarang kegiatan penerokaan dan perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

- Advertisement -

Beliau berkata, penerokaan dan perlombongan di kawasan itu belum dimulakan berikutan prosedur operasi standard (SOP) dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) belum dikeluarkan.

“Yang curi dan sudah dituduh mencuri REE ialah seorang warga negara China bersama seorang pemandu lori, bukannya (Muhamad) Sobri Osman yang mengetuai (Ketua Pegawai Eksekutif) MBI.

“MBI bekerjasama dengan syarikat Prospek Suria (melalui pegangan ekuiti) sebanyak 15 peratus (MBI) dan 85 peratus dipegang oleh syarikat berkenaan. Syarikat itu diberi satu lot melombong. Memang ada kebenaran lesen (permit) menjelajah, namun usaha sama itu belum berlaku dan tidak ada aktiviti perlombongan lagi kerana tunggu SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundur) pada sesi pertanyaan mulut awal sidang hari kedua Bajet Kedah 2023 di sini, hari ini.

Sementara itu menjawab soalan Johari Abdul (PKR-Gurun), Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri memperolehi semula hasil selepas terpaksa menanggung kerugian akibat perlombongan haram REE apabila dua individu yang terlibat dikenakan bayaran kompaun.

“Dua kompaun yang perlu dibayar berjumlah RM630,000 iaitu kompaun maksimum RM500,000 untuk kesalahan melombong REE dan kompaun RM130,000 bagi kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dibayar pada 11 Oktober lalu,” katanya.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan mendapat arahan izin kompaun mengikut Seksyen 32(1), 47(1), 50(1), 81(1) (d) dan 81(1) (e) dengan jumlah kompaun RM130,000 kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti yang dilarang dalam HSK.

Sementara kesalahan melombong REE tanpa kebenaran, Pejabat Pengarah TPR berdasarkan Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) mengenakan kompaun maksimum sebanyak RM500,000.

“Kerajaan negeri menerima nasihat supaya kes itu dikenakan kompaun kerana bayaran kompaun maksimum itu akan masuk kepada kerajaan negeri, tetapi jika dibawa ke mahkamah, bayaran denda akan dikembalikan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

REE yang dirampas bernilai RM391,360.91 mengikut nilai pasaran dengan anggaran RM35,257.74 setiap metrik tan dan akan disita serta dilupuskan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. – HARAKAHDAILY 31/10/22

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -