Jambatan runtuh, 120 orang maut

- Advertisement -

Susunan NORHANA MAT ZIN

AHMEDABAD: Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh di India selepas jambatan era kolonial runtuh, semalam menyebabkan ramai orang terhumban ke dalam sungai.

- Advertisement -

Menurut pihak berkuasa, hampir 500 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, sedang meraikan festival keagamaan di sekitar kawasan jambatan gantung berusia hampir 150 tahun di Morbi, barat India.

Beratus-ratus pengunjung menggunakan jambatan gantung yang dibina ketika era pemerintahan British, sebelum ia tiba-tiba runtuh.

Menurut media tempatan, jambatan sepanjang 232 meter itu merupakan lokasi pelancongan popular yang dibuka semula minggu lalu selepas ditutup selama tujuh bulan untuk pengubahsuaian.

Namun begitu, jambatan itu belum lagi mendapat pengiktirafan sijil keselamatan.

Jambatan gantung itu dirasmikan pada 1880 oleh pihak berkuasa kolonial British dan dibuat menggunakan bahan yang dihantar dari England.

Ketua Polis Morbi, P Dekavadiya, berkata seramai 120 mayat ditemui di tempat kejadian, namun jumlah korban mungkin akan meningkat kerana operasi mencari masih diteruskan dan setakat ini, lebih 130 orang diselamatkan.

“Orang ramai jatuh menimpa antara satu sama lain selepas jambatan runtuh. Mereka berpusu-pusu ke jambatan itu untuk menghadiri upacara keagamaan dan perayaan Diwali.

“Ramai kanak-kanak dan wanita yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Pihak berkuasa dengan pantas melancarkan operasi menyelamat berikutan runtuhan itu dengan pemandu bot dan penyelam dikerahkan untuk mencari orang yang hilang sehingga larut malam.

Berpuluh-puluh anggota tentera Tentera Darat dan Tentera Laut India turut dipanggil untuk membantu operasi menyelamat.

Pihak berkuasa bercadang untuk menghentikan bekalan air ke sungai dari empangan berhampiran dan menggunakan pam untuk mengurangka paras air sungai bagi mempercepatkan operasi mencari.

Perdana Menteri, Narendra Modi, turut mengumumkan akan memberikan pampasan kepada waris mereka yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu.

Beliau juga menggesa mempercepatkan pasukan penyelamat untuk membantu operasi di tempat kejadian. – HARAKAHDAILY 31/10/2022

- Advertisement -