Oleh NOOR SARA MASHITOH
KANGAR: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri menjadikan platform media sosial sebagai pusat sehenti utama bagi menarik sokongan khasnya pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda PN negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pendekatan tersebut berbeza berbanding kaedah konvensional yang digunakan sebelum ini.
Katanya, PN menjadikan media sosial sebagai pusat sehenti terutama pengundi baharu dengan menyalur maklumat berkaitan tanggungjawab mengundi, parti yang akan dipilih dan sebagainya.
“Kita akan menggunakan semua medium media sosial termasuk TikTok, Instagram, Facebook dan Twitter dengan menyeluruh untuk dimanfaatkan sepanjang kempen PRU15,” katanya ketika ditemui selepas Program Gegar Anak Muda Perlis di Denai Larian Pengkalan Assam, di sini semalam.
Kata beliau PN Perlis akan membuat hebahan kejayaan gabungan tersebut sepanjang pemerintahan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kepada masyarakat menerusi media sosial.
Menurutnya juga program ceramah PN kali ini lebih tertumpu kepada skala kecil dan hanya melibatkan beberapa penganjuran ceramah mega sahaja.
“PN akan anjurkan lebih banyak ceramah kelompok, manakala ceramah mega akan dianjurkan dua atau tiga kali sahaja sepanjang kempen berlangsung.
“Kita mengunakan tagline Perlis Baharu yang akan diisytiharkan secara rasmi pada hari pengumuman calon yang dijangka pada 1 atau 2 November ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2022