Agenda memperkasa umat Islam, jalan ke hadapan agensi Islam

- Advertisement -

AMANAH untuk mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah satu taklifan berat yang perlu digalas sebaiknya. Portfolio ini penting untuk menjaga agama Islam dan umat Islam. Syukur, alhamdulillah, saya berasa kuat dan bersemangat kerana disokong serta didukung oleh timbalan menteri, Ketua-ketua agensi dan seluruh warga agensi Islam yang bersemangat waja.

- Advertisement -

Tanpa menunggu lama, pada 1 September 2021 hari pertama melapor diri di Kompleks Islam Putrajaya, saya telah memberikan pengarahan untuk menggerakkan 5 INISIATIF MANTAP sebagai hala tuju agensi Islam iaitu:

i) Pemantapan mental, jasmani dan rohani
ii) Pemantapan Sistem Pendidikan Islam
iii) Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam
iv) Pemantapan Institusi Masjid dan Surau
v) Pemantapan Sosio-Ekonomi Ummah

Dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran, seluruh warga kerja 14 buah agensi Islam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan fokus kepada program-program bersifat turun padang, sebanyak 208 program telah berjaya dilaksanakan seperti KPI yang telah ditetapkan. Bukan sekadar itu, KPI kepada YAB Perdana Menteri juga telah berjaya kita selesaikan. Semuanya adalah kerana kita mahu membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19. Kita mahu membuktikan bahawa agensi Islam sentiasa prihatin, pantas dan cakna kepada permasalahan semasa umat Islam.

Dalam tempoh setahun ini juga, pelbagai inisiatif telah berjaya dilaksanakan dalam pentadbiran Islam meliputi bidang-bidang seperti dasar dan transformasi pengurusan, kesejahteraan sosial, pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan sebagainya.

Secara makro, ada perkara penting yang telah diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pertamanya, kita telah membangunkan Dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera sebagai pelantar kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu. Dokumen tersebut yang diurusetiakan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah diedarkan di peringkat pembuat dasar, termasuk agensi-agensi Kerajaan. Manakala dalam konteks agensi hal ehwal Islam, Dokumen sudah di peringkat pelaksanaan. Beberapa minggu lepas, saya bersama JAKIM telah mengadakan dialog harmoni bersama Ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni). Ini juga antara usaha untuk menyerlahkan Islam sebagai agama kedamaian yang sentiasa menjulang tinggi nilai perpaduan dan keamanan.

Kedua, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan Inisiatif Lelaki Qawwam. Peranan golongan suami dan bapa perlu diperkasakan sebagai pelindung serta pemimpin keluarga. Mengambil kira isu-isu sosial yang berlegar, Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam sebagai blue-print pelaksanaan agenda ini telah diterbit dan dilancarkan. Inilah antara langkah untuk membina negara yang sejahtera. Ia bermula daripada pembinaan sebuah keluarga di atas landasan iman dan taqwa.

Agensi Islam prihatin, berkebajikan dan mengupayakan para asnaf

Saya sering mengulang-ulang kepentingan untuk mewajahkan agensi Islam yang prihatin dan berkebajikan. Melalui program Tabung Musa’adah Agensi Hal Ehwal Islam, dalam tempoh bulan September 2021 hingga September 2022, sebanyak RM 305,858,877.41 telah diagihkan golongan asnaf, B40 dan mereka yang terkesan akibat Covid-19 dan lain-lain musibah yang menimpa masyarakat.

Untuk mendepani impak ekonomi dan emosi masyarakat akibat krisis kesihatan awam, pada tahun 2021, agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) secara agresif telah mengagihkan zakat sebanyak RM725.14 juta menerusi pelbagai skim membantu para asnaf. Agihan tersebut telah memanfaatkan secara langsung kepada 216,525 orang asnaf penerima bantuan.

Manakala pada tahun ini, bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 September 2022, MAIWP telah mengagihkan zakat berjumlah RM620.49 juta kepada asnaf yang memerlukan melalui pelbagai skim bantuan. Ini yang kita mahukan, setiap sen dana zakat perlulah diagihkan kepada para asnaf. Kita bukan sekadar berbangga dengan jumlah kutipan setiap tahun, tetapi apa yang jauh lebih penting, adalah kita mengagihkan wang zakat tersebut dengan telus dan beramanah. Alhamdulillah, telah digerakkan dengan cemerlang oleh MAIWP dan agensi-agensi Islam. 

Selain itu melalui Yayasan Waqaf Malaysia, kita telah membangunkan projek WATANI (Wakaf Pertanian Bersepadu) di atas tapak tanah wakaf seluas 10 ekar di Presint 20, Putrajaya. Peruntukan sebanyak RM3 juta telah diberikan untuk membangunkan projek Wakaf Tani ini. Tentunya program ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada asnaf. Melalui Yayasan Waqaf Malaysia juga kita telah memperkenalkan program-program seperti Wakaf Halal PKS, dan sebagainya. MAIWP juga telah melancarkan program Bijaktani Hidroponik di PPR Pinggiran Bukit Jalil untuk melatih asnaf dalam pertanian moden ini. Program ini akan diperluaskan program Bijaktani Hidroponik di 5 buah PPR lagi di Wilayah Persekutuan.

Ini adalah paradigma baharu agensi agama, berperanan untuk mengupayakan para asnaf dengan ilmu keusahawanan dan kemahiran-kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam membina kerjaya mereka.  Bermula Januari 2022, saya telah membentuk Jawatakuasa Bertindak Berkaitan Asnaf yang membentuk kerjasama antara agensi seperti MAIWP, YaPEIM, JAWI dan sebagainya. Harapan kita adalah untuk menangani kemiskinan masyarakat dengan lebih terancang dan strategik. 

Kejayaan Operasi Haji Musim 1443H dan Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026

Selain itu, pencapaian yang membanggakan adalah kejayaan Operasi Haji Musim 1443H setelah dua tahun ia tertangguh akibat Covid-19. Tabung Haji telah berjaya mengurus seramai 14,306 jemaah haji negara pada musim kali ini.  Sebagai Kerajaan yang prihatin kepada kebajikan jemaah, bantuan kewangan Haji oleh Tabung Haji pada tahun ini hampir RM200 juta. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited menjaga kebajikan umat Islam dalam segala segi. Salah satunya adalah dengan penubuhan Tabung Haji yang berfungsi untuk mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia ke tanah suci. Dengan adanya Tabung Haji yang sudah 59 tahun beroperasi, kebajikan dan keselesaan jemaah haji terus terpelihara melalui pelbagai perkhidmatan penting yang disediakan bermula dengan penganjuran kursus-kursus haji bagi membantu melahirkan para jemaah yang berilmu agar mereka boleh melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menghasilkan Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026, yang merupakan pelan strategik lima tahun di bawah 14 agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Inilah citra baharu yang mesti disahut oleh agensi hal ehwal Islam berpandukan cabaran semasa. Agensi Islam perlu kekal relevan, serta tangkas menangani isu-isu kemaslahatan umat Islam.

YB SENATOR DATUK IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 31/10/2022

- Advertisement -