Promosi, pemasaran produk ekopelancongan lebih agresif

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 telah menyasarkan untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, antara strategi yang perlu dipertingkatkan adalah melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk ekopelancongan yang lebih agresif dan konsisten bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri ekopelancongan di Malaysia.

“KeTSA memainkan peranan yang amat signifikan di bawah Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 bagi mengangkat Malaysia sebagai salah satu destinasi ekopelancongan terkemuka di dunia.

“Seterusnya menyumbang kepada peningkatan penjanaan ekonomi setempat di sekitar kluster ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, KeTSA juga telah berjaya melatih lebih 2,000 peserta di seluruh negara melalui program Reskill Upskill Latihan Ekopelancongan tahun ini.

Beliau berkata, program itu merupakan antara inisiatif KeTSA bertujuan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan dalam kalangan komuniti setempat.

Menurutnya, program itu juga memberikan manfaat dari segi meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kebolehpasaran pekerjaan seterusnya menyokong sumber penjanaan ekonomi kepada komuniti.

“KeTSA juga sedang gat memperluaskan pelaksanaan Program Ekopelancongan Berasaskan Komuniti atau Community Based Ecotourism (CBET).

“Program ini dapat menyokong sumber pendapatan tambahan komuniti melalui pembangunan sistem pengurusan bersama atau joint management bag menambah baik dan memasarkan perkhidmatan ekopelancongan secara holistik berasaslam sumber asli senagau produk ekopelancongan setempat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2022

- Advertisement -