Prinsip PAS kekal bangunkan negara, bangsa dengan Islam

- Advertisement -

SEMENJAK dahulu, sewaktu PAS dirancang penubuhannya, Islam adalah tonggak kepada jemaah ini. Islam diangkat oleh Hizbul Muslimin dan dijunjung menurut al-Quran dan Sunnah, sehinggalah diharamkan British. Umno takut dan tidak mahu meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya, maka Umno ditinggalkan oleh ulamak yang bersekutu dengannya, lalu ditubuhkan PAS, satu jemaah yang benar-benar dan sanggup mempertahankan Islam.

- Advertisement -

Bergilir-gilir ketua PAS bersilih ganti, daripada jawatan Yang Dipertua, diubah menjadi Presiden. Daripada keseorangan, bergabung dengan Umno, ditendang Umno, kalah semua kerusi. Mengalami pergeseran dalaman yang hebat, Yang Dipertua PAS meletakkan jawatan, beberapa pimpinan utama dipecat. Ketika Umno mengalami perbalahan, diajak pula bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah lalu dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Begitulah jatuh bangun, perit pedih PAS bergelumang dalam gelanggang politik Malaysia. Sehingga kini.

Namun sebesar mana perubahan, sehebat mana pertempuran, ia langsung tidak menggugat prinsip asas PAS, iaitu mendaulatkan Islam, meletakkannya ke setinggi-tinggi tempat kerana mengetahui wajib dan betapa mulianya Islam itu. Siapa sahaja yang menjadi ketua, pimpinan, mahupun ahli cukup memahami ini dan mereka sanggup berkorban apa sahaja demi Islam. Sesiapa yang menyalahi sunnah perjuangan Islam ini, akan terpinggir, lambat atau segera. Buktinya sudah tersebar dilihat. Semua makhluk menyeleweng itu, tiada harga lagi.

Untuk itu, PAS tidak pernah takut, kesal, malu mahupun kisah dengan segala cercaan, kutukan dan hinaan kerana membawa perjuangan Islam dari musuh yang sebenarnya membenci Islam, tetapi memalitkan PAS sebagai alasan kebencian mereka. Tiada parti yang istiqamah dengan Islam kecuali PAS. Ironinya semua parti termasuk parti kafir tanpa malu, mengaku di hadapan rakyat mendadik dada bahawa merekalah yang membela Islam, walau ekor mereka bergelumang dengan tahi liberal, plural, Komunis, sekular, pragmatis, chauvinis dan seerti dengannya apabila hampir PRU.

Mereka tidak mahu menzahirkan ideologi sebenar mereka. Islam juga yang mereka cari bagi melindungi niat jahat dalam hati mereka. Kemudiannya mereka menyerang PAS dengan dakwaan menunggang agama, padahal Islam itulah yang mereka gunakan bagi kepentingan politik kotor mereka. Ketika ini, sudah ada banyak keluar berita penafian oleh parti yang ideologinya hampir dengan Komunis, menolak dakwaan mereka pro-Komunis. Takutkah, malukah mereka?

Kenyataan media disebarkan bahawa mereka bukan golongan liberal, mahupun plural. Chauvinis, tidak pernah menjadi perjuangan mereka. Mereka juga berteriak, menyeru ke seluruh alam yang mereka membenci rasuah, mereka juga berintegriti. Sedangkan kepalsuan mereka itu nyata. Islam tidak selamat dengan mereka, rasuah yang konon dibenci itu, disedut seenaknya, bergilir-gilir oleh mereka. Kes-kes di mahkamah, masih berjalan.

Mengapa mereka takut dan menafikan penglibatan mereka ketika mana ucapan, aktiviti, sokongan mereka jelas condong kepada Komunis, liberal, plural mahupun LGBT? Kerana perjuangan mereka diasaskan dengan pembohongan. Semua perkara yang bukan dibina berdasarkan Islam adalah penipuan sahaja. Walau mereka bersolek menggunakan agama, manusia akan mengetahuinya juga. Ia akan hancur, sebagaimana perjuangan orang-orang kafir melawan Rasulullah dahulu.

Ia tidak terjadi kepada PAS. Dihina, difitnah, dipenjara semenjak dahulu kerana mendaulatkan Islam. Apa yang tidak dirasakan PAS. Tetapi PAS tetap membawakan Islam bersama, tanpa takut ditentang atau sedih ditolak. Pemerintahan, kebajikan, dakwah, tarbiyah, politik, NGO, semua dikepilkan bersama Islam. Islam bagai nyawa kepada seluruh aktiviti PAS ini. Oleh sebab itu, PAS tidak pernah malu dan takut membawa Islam, malah amat bangga.

Sehinggakan musuh PAS secara tidak sedar selalu menggabungkan PAS dengan Islam seperti lebai, ulamak, yang sebati dengan Islam. PAS kekal dengan Islam. Pernah dibuang seorang pimpinannya kerana berjoget dengan wanita. Tidak tumbang dengan isu Memali, kafir-mengkafir kerana sehodoh mana dakwaan itu, akhirnya rakyat tidak percaya naratif itu. Inilah hebatnya Islam. Tidak menyesal orang yang membawanya. Agama benar ini, akhirnya akan membenarkan pembawanya. Dan PAS membuktikannya.

PAS, menerusi Islam, telah mengeluarkan Menteri, Menteri Besar, pegawai-pegawai yang berintegriti, beramanah, menepati janji dan dipercayai semua. Inilah hasil dari didikan Islam. Sebab itu PAS semenjak dahulu mengaku pejuang Islam sebenar. Berlainan dengan parti lain yang menipu menggunakan Islam. Lalu lahirlah wakil-wakil mereka yang rasuah, pembohong, penipu dan berbagai lagi kriteria yang sangat jauh dengan Islam. PAS kekal dengan prinsipnya untuk membangunkan bangsa dan negara berpaksikan Islam selama-selamanya insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 29/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -