PRU15: Jadilah anak muda yang bijak memilih

- Advertisement -

SAYA menjadi ahli PAS sejak 1998 tetapi tidak pernah bekerja dengan parti. Tugas saya hanya mengundi pada setiap penggal dengan calon yang dipertaruhkan oleh parti ini. Sekadar itu. Tidak lebih, tidak kurang.

- Advertisement -

Pernah merosakkan kertas undi di peringkat DUN hanya kerana protes penglibatan PAS dengan Pakatan Rakyat dan calon di peringkat DUN bukan daripada PAS. Ruginya saya kerana jauh daripada tarbiyyah.

Hanya pada PRU14, saya mula berjinak-jinak sebagai amilin parti. Saya mulakan dengan menghadiri program-program tarbiyyah, tukang angkat meja kerusi, mengemas tapak program sehingga tukang pacak bendera dan runner.

PAS ialah parti yang penuh tarbiyyah dan disiplin. Segala tugasan parti dilaksanakan dengan niat untuk berdakwah – bukan semata-mata politik. Politik hanyalah salah satu wadah – daripada sekian banyak wadah – untuk mendapat redha Allah S.W.T. Kalah atau menang – redha Allah S.W.T ialah perkara yang paling dicita-citakan setiap amilin.

Saya ditarbiyyah bukan sekadar dalam program-program tarbiyyah khusus sahaja – malah ketika bertugas juga. Proses tarbiyyah juga sangat mudah – solat awal waktu, solat berjemaah, tinggalkan sebentar tugasan untuk bersolat, berdisiplin, menjaga adab. Simple bukan? Inilah tarbiyyah yang saya peroleh.

Bukan sekadar tuntutan parti – malah tuntutan agama juga. Saya rela digelar walaun hanya kerana meletakkan walak kepada pimpinan – pada mereka mata helang di angkasa berbanding mata saya yang melata di bumi. Dan, saya berbangga sebagai walaun kerana dalam walaun ini berdirinya para profesional dan ahli akademik yang ditarbiyyah.

PAS juga digelar parti pak lebai dan saya berbangga kerana pak lebai telah mentadbir 3 negeri pada PRU14 yang lalu secara solo dengan 18 kerusi Parlimen. ‘Pak lebai’ bukan sesuatu yang perlu dimalukan – malah dibanggakan.

Kali ini, PAS bersama PERIKATAN NASIONAL dan saya tidak akan protes lagi kerana di hadapan sana dipenuhi dengan bekas banduan dan yang sedang menanti perbicaraan mahkamah – yang jauh lebih berisiko untuk diangkat sebagai pemimpin sedangkan PERIKATAN NASIONAL menawarkan #BersihdanStabil untuk rakyat yang mahukan kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Semoga sekecil-kecil usaha saya akan diperhitung dengan sebesar-besar perhitungan oleh Allah S.W.T.

ABU MUADZ AL-AHMADI – HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -