
Susunan ZULHAIDI MANSOR
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak bukan sahaja mencatat rekod sebagai pemimpin termuda negara itu dalam tempoh lebih 200 tahun, tetapi menempa nama sebagai PM pertama UK yang lebih kaya berbanding Raja British.
Sunak, 42, bekas jurubank pelaburan, dan isterinya, pewaris konglemerat teknologi India, Akshata Murty, 42 mempunyai anggaran kekayaan kira-kira 730 juta pound (RM3.99 bilion), menjadikan mereka lebih kaya daripada gabungan aset kekayaan Raja Charles III dan Permaisuri Camilla yang mencecah 430.6 juta pound sterling, lapor The Washington Post.
Menurut The Sunday Times Rich List 2022, berdasarkan jumlah harta kekayaan mereka, pasangan tersebut merupakan yang ke-222 terkaya di UK.

Sebagai perbandingan, dalam senarai tersebut, sebelum kemangkatan beliau, aset kekayaan Ratu Elizabeth II pula mencecah 370 juta pound sterling.
Sementara menurut Fortune.com, sumber utama kekayaan Sunak dan Murty adalah daripada pegangan saham Murty sebanyak 0.9 peratus dalam syarikat teknologi internet (IT) milik bapanya Narayana MurRishi ty, Infosys – dianggarkan mencecah 690 juta pound sterling – yang membolehkan pasangan itu mengutip pendapatan dividen sebanyak 11.6 juta pound sterling pada tahun lalu.
Ini adalah tahun pertama Sunak dan Murty berjaya masuk ke dalam The Sunday Times Rich List 2022 kerana sebelum ini penerbitan itu tidak dapat mengesahkan pegangan saham Murty dalam Infosys.
Akses kepada Chequers
Sebagai perdana menteri baharu UK dan yang ketiga dilantik pada tahun ini (selepas Boris Johnson dan Liz Truss), Sunak kini akan berpindah ke 10 Downing Street, yang terletak bersebelahan bekas kediamannya ketika beliau berkhidmat sebagai Canselor Perbendaharaan kepada bekas Perdana Menteri UK, Boris Johnson yang berkhidmat dari Februari 2020 hingga Julai tahun ini.

Sunak juga akan mendapat akses kepada Chequers, rumah agam mewah desa khusus untuk perdana menteri yang dibina abad ke-16, terletak berhampiran perkampungan Ellesborough, pertengahan antara Princes Risborough dan Wendover di Buckinghamshire, United Kingdom, di kaki bukit Chiltern Hills, sejauh 64 kilometer di utara-barat dari pusat bandar raya London.
Sunak dan Murthy yang berkahwin pada Ogos 2009 dalam majlis yang berlangsung selama dua hari di Bangalore, India dan mempunyai dua anak perempuan itu mempunyai portfolio hartanah peribadi mereka sendiri.
Pasangan itu memiliki empat buah rumah agam mewah di serata UK selain di California, Amerika Syarikat yang dianggarkan secara keseluruhannya mencecah nilai 15.8 juta pound sterling.

Hartanah terbesar dalam koleksi mereka ialah Manor House, sebuah rumah agam desa dua tingkat yang disenaraikan sebagai warisan abad ke-19 di perkampungan Kirby Sigston di utara Yorkshire, yang dibeli pada Julai 2015 dengan harga 1.98 juta pound sterling.
Pasangan itu juga dilaporkan membelanjakan AS$450,000 (RM2.12 juta) untuk membina pusat riadah di kediaman mereka itu yang lengkap dengan kolam renang sepanjang 40 kaki, gimnasium dan gelanggang tenis.
Di London, kediaman utama mereka adalah di 16 Hesper Mews di kawasan penginapan elit Kensington, sebuah kediaman empat bilik tidur yang mereka perolehi dengan harga AS$7.1 juta pada tahun 2010.
Sunak juga memiliki sebuah apartmen di Old Brompton Road di Kensington selatan, yang dibelinya dengan harga kira-kira AS$300,000 pada September, 2001.

Sementara, di California, tempat pertemuan Sunak dan Murthy ketika bergelar pelajar di Stanford Graduate School of Business, mereka dilaporkan memiliki sebuah penthouse berhadapan lautan di 1705 Ocean Ave, Santa Monica bernilai AS$7.5 juta.
Laporan WION pula mengatakan bahawa pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu mempunyai pelbagai keunikan.
Selain menjadi ahli politik yang berasal India pertama yang menjadi ketua kerajaan UK, Sunak juga menjadi ahli politik terkaya untuk menjawat jawatan itu dalam sejarah negara itu.
Walaupun tiada kekayaan seperti itu boleh dikesan pada mana-mana Perdana Menteri British baru-baru ini, namun Guinness Book of World Records mendakwa bahawa rekod sebelumnya adalah milik Edward Stanley pada abad ke-19.
Walaupun adalah mustahil untuk mengira dengan tepat jumlah kekayaannya, jumlah itu secara kasar akan mencapai lebih daripada 449 juta pound sterling.

Pakai kasut Prada di tapak pembinaan
Sunak berasal dari keluarga yang agak kaya dengan pendidikannya di sekolah elit Winchester College dan Universiti Oxford. Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai penganalisis kewangan di Goldman Sachs.
Beliau dilahirkan di Southampton, England, yang mana bapanya merupakan seorang doktor dan ibunya pula mengusahakan sebuah farmasi, lapor New York Times pula.
Selain bergelar graduan Universiti Oxford, beliau turut belajar di Universiti Stanford, sebelum menjana kekayaan sendiri sebagai jurubank pelaburan di syarikat seperti Goldman Sachs sebelum memasuki Parlimen pada 2015 dan menjadi canselor Exchequer pada 2020 pada usia 39 tahun.

CBC melaporkan perkara penting dilakukan oleh Sunak selepas bertemu Raja Charles, adalah beliau akan berjuang menghadapi cabaran ekonomi yang dihadapi UK ketika ini.
Dalam pada itu, semasa temu bual dengan podcast London Telegraph musim panas lalu, beliau berkata bahawa nilai estetika adalah apa yang penting, dan apa yang beliau pakai tidak relevan dengan semua itu.
Sunak sememangnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam bergaya apabila mengenakan sut mencecah harga AS$5,000 sepasang; dan beliau pernah dikritik kerana pernah muncul di tapak pembinaan Teeside Freeport memakai kasut jenama Prada bernilai kira-kira AS$750. – HARAKAHDAILY 27/10/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!