Susunan YUSMAN AWANG
LOS ANGELES: Instrumen orbit Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) di angkasa telah mengesan sekurang-kurangnya 50 titik pemancar metana dalam jumlah yang besar (atau pemancar super) dari seluruh dunia yang membawa kepada masalah gas rumah hijau yang serius di planet bumi.
NASA dalam kenyataannya pada Rabu (19 Okt) berkata, peranti yang dikenali sebagai spektrometer pengimejan itu telah mengenal pasti lebih daripada 50 ‘pemancar super’ metana di Asia Tengah, Timur Tengah dan Barat Daya Amerika Syarikat sejak ia dipasang pada Julai tahun ini di atas Stesen Angkasa Antarabangsa itu, lapor Reuters.
Metana adalah gas rumah hijau yang kuat yang jauh lebih berkesan untuk memerangkap haba di atmosfera daripada karbon dioksida (CO2).
Sementara menurut nasa.gov, titik panas metana yang baru diukur – beberapa daripadanya yang sebelum ini diketahui dan yang lain baru sahaja ditemui – adalah termasuk daripada tapak penggalian minyak dan gas yang meluas serta tapak pelupusan sampah yang besar.
Peranti rekaan NASA itu sebelum ini direka terutamanya untuk memajukan kajian habuk bawaan udara dan kesannya terhadap perubahan iklim bumi.
Spektrometer dibina terutamanya untuk mengenal pasti komposisi mineral habuk yang ditiup ke atmosfera dari padang pasir bumi dan kawasan gersang lain dengan mengukur panjang gelombang cahaya yang dipantulkan dari permukaan tanah di kawasan tersebut.
Kajian yang dikenali sebagai Penyelidikan Debu Mineral Permukaan Bumi NASA (EMIT) itu akan membantu saintis untuk menentukan sama ada habuk bawaan udara di bahagian yang berlainan di dunia ini berkemungkinan memerangkap atau memesongkan haba daripada matahari, sekali gus menyumbang kepada pemanasan atau penyejukan planet.
“Ternyata, metana menyerap cahaya inframerah dalam corak unik yang boleh dikesan dengan mudah oleh spektrometer EMIT,” ujar kenyataan saintis, Andrew Thorpe dari Makmal Pendorong Jet (JPL) NASA berhampiran Los Angeles, tempat instrumen itu direka dan dibina.
“Mengelilingi bumi sekali setiap 90 minit dari hinggapannya di stesen angkasa lepas kira-kira 250 batu (420 kilometer) tinggi, EMIT dapat mengimbas kawasan luas planet berpuluh-puluh batu merentasi sambil turut memfokuskan pada kawasan sekecil padang bola sepak.
“Beberapa gumpalan (metana) yang dikesan EMIT adalah antara yang terbesar pernah dilihat – tidak seperti apa-apa yang pernah diperhatikan dari angkasa,” tambah Thorpe yang juga seorang ahli teknologi penyelidikan JPL yang mengetuai kajian gas metana.
Metana panaskan bumi
Menurutnya, hasil sampingan daripada bahan organik yang mereput dan komponen utama gas asli yang digunakan dalam loji kuasa, metana menyumbang sebahagian kecil daripada semua pelepasan rumah hijau yang disebabkan oleh manusia tetapi mempunyai kira-kira 80 lebih kapasiti memerangkap haba paun demi paun daripada karbon dioksida.
“Berbanding dengan gas karbon dioksida yang terdapat di atmosfera selama berabad-abad, gas metana kekal hanya selama kira-kira sedekad, bermakna pengurangan dalam pelepasan metana akan mempunyai kesan yang lebih segera terhadap pemanasan planet bumi.
“Contoh pemancar super metana yang baru digambarkan yang dipamerkan oleh JPL pada hari Selasa termasuk sekumpulan 12 kepulan daripada infrastruktur minyak dan gas di Turkmenistan, beberapa kepulan membentang lebih daripada 20 batu (32 km),” jelas beliau.
Sehubungan itu, penyelidikan itu menganggarkan kawasan Turkmenistan itu secara kolektif memuntahkan metana pada kadar 111,000 paun (50,400 kilogram) sejam, menyaingi aliran puncak dari letupan medan gas Aliso Canyon pada 2015 berhampiran Los Angeles yang disenaraikan sebagai salah satu pelepasan gas metana tidak sengaja terbesar dalam sejarah AS.
Dua lagi titik pemancar besar adalah medan minyak di New Mexico, dan kompleks pemprosesan sisa di Iran, yang digabungkan kedua-dua lokasi memancarkan hampir 60,000 paun (29,000 kg) gas metana setiap satu jam.
“Pada masa hadapan, EMIT yang merupakan salah satu daripada 25 instrumen sains bumi di orbit angkasa berpotensi menemui beratus-ratus titiik pemancar super gas metana di planner ini sebelum misinya selama setahun berakhir,” kata kenyataan NASA. – HARAKAHDAILY 27/10/2022