PRU15: Anak muda sebagai ‘king maker’

- Advertisement -

SISTEM demokrasi negara sekali lagi mencipta sejarah apabila had mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Undi18 memberi ruang kepada pengundi muda yang masih segar menikmati usia remaja menjalankan tanggungjawab untuk memilih dan menentukan pentadbiran negara. 

- Advertisement -

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah memperolehi sokongan majoriti di Parlimen selepas dua kali undian dilakukan. Ini membuktikan negara kita semakin serius dalam memperkasakan sistem demokrasi selari dengan negara-negara maju. 

Apa yang perlu kita sedar adalah bagaimana generasi muda memahami dan tahu akan kepentingan mengundi. Rata-rata generasi muda pada hari ini bertindak seperti katak di bawah tempurung apabila ditanya mengenai politik. Mereka lebih suka menyepi dalam dunia maya mereka sendiri tanpa ingin mengambil tahu situasi politik semasa dalam negara.

Islam menitikberatkan mengenai pemerintahan yang mendaulatkan nilai-nilai Islam serta mampu membangunkan pentadbiran dengan bersih dan stabil. Politik dalam Islam sering dikaitkan dengan konsep khalifah yang menjadi kepimpinan dalam pentadbiran. Di dalam al-Quran khalifah tidak dikhususkan kepada pemimpin negeri sahaja namun merupakan milik semua orang. Allah S.W.T berfirman:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Ayat al-Quran ini memberikan penekanan bahawasanya kedaulatan hakiki itu adalah terletak hak pada Allah S.W.T sedangkan kuasa pentadbiran diserahkan kepada rakyat. Tentunya, generasi muda perlu sedar bahawa dengan mengundi, mereka dapat memilih pemimpin yang berintegriti dan mampu membangunkan negara dengan keharmonian hakiki. 

Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) bakal dilaksanakan untuk PRU15. Statistik daripada Jabatan Perangkaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pertambahan pengundi semasa seramai 21.1 juta. 

Anak muda pada hari ini perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam PRU15 nanti. Ini adalah kerana, anak muda menjadi penentu untuk membentuk sebahagian besar pengundi dengan jumlah yang dianggarkan 12.2 juta yang berumur 18 sehingga 40 tahun.  

Ini satu isyarat besar kepada semua lapisan masyarakat untuk membina kesedaran dalam diri anak muda supaya celik dalam berpolitik. Kesannya, jika kesedaran mengundi dalam diri anak muda kurang, maka akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi nanti. 

Malah, apabila kesilapan anak muda untuk tidak cakna kepada politik memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin yang mahu menanam kerosakan dalam sebuah pentadbiran. Sejarah telah membuktikan bahawa, apabila kesilapan rakyat memilih Pakatan Harapan ketika PRU14 lalu memberi kesan yang cukup besar kepada pentadbiran negara dengan pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan lain-lain. 

Paling teruk apabila doktrin pemikiran yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Sehingga wujud pihak yang  mahu normalisasikan LGBT di negara ini. Data JAKIM menunjukkan peningkatan yang amat ketara kes yang melibatkan individu gay.

Penyelesaian terbaik yang boleh diambil adalah memilih pemimpin yang betul-betul dapat membawa qudwah hasanah dalam mentadbir negara. Pemimpin yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang beraqidah, beriman dan berakhlak. Sebaliknya berlaku jika ciri-ciri ini tiada dalam diri corak kepimpinan tersebut maka pentadbiran akan lumpuh, ekonomi jatuh menjunam, politiknya secara berkepentingan dan hak rakyat tidak lagi diutamakan.

ISHAM MOKHTAR – HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -