MPKB-BRI sedia ambil tindakan peniaga sebar dakwaan palsu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjelaskan pengusaha ayam proses Zukila menjalankan perniagaan di enam premis tanpa lesen bermula tahun 2012 hingga Jun 2020.

- Advertisement -

Yang Dipertua MPKB-BRI Rosnazli Amin berkata, peniaga terbabit berniaga tanpa memiliki lesen premis merupakan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI Pindaan 2019.

Katanya, premis Jukee Ayam dikenakan tindakan kompaun di atas kesalahan berterusan tidak memiliki lesen premis dan kesalahan kebersihan.

“Jukee Ayam tidak diluluskan lesen premis perniagaan ketika itu kerana gagal memenuhi syarat dikenakan terhadap premis memproses ayam iaitu aspek kebersihan, lokasi, penyediaan tong khas untuk sisa buangan dan kawalan air kubahan.

“Bagaimanapun MPKB-BRI memanggil pihak Jukee Ayam berunding dan bersetuju untuk mengeluarkan lesen premis (sementara) tertakluk peniaga terbabit menjelaskan kompaun yang tertunggak serta berusaha memenuhi syarat-syarat lesen,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

Ekoran itu menurutnya Jukee Ayam menjelaskan sejumlah RM27,060 bagi penyelesaian tunggakan kompaun kesalahan tiada lesen, kompaun kesalahan kebersihan, bayaran tong sampah, bayaran maklumat maklumat hak milik dan bayaran lesen.

Rosnazli juga berkata, pada Julai 2020 enam presmis Jukee Ayam diluluskan lesen premis perniagaan (sementara) selama enam bulan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap syarat-syarat ditetapkan.

Kata beliau permohonan pembaharuan lesen (sementara) Jukee Ayam dilulus untuk empat premis sahaja dan dua lagi tidak dapat dipertimbangkan kerana faktor lokasi yang tidak sesuai.

“Lesen premis sementara dilulus untuk tempoh Mei hingga November 2021. Oktober 2021 MPKB-BRI tidak lagi menyambung lesen kepada semua premis Jukee Ayam di atas gagal mematuhi semua syarat ditetapkan setelah pembaharuan lesen dipertimbangkan atas dasar percubaan,” kataya.

Oleh itu katanya MPKB-BRI kesal kenyataan palsu dibuat secara berterusan Zukila melalui media sosial terhadap kerajaan negeri, ahli politik dan pegawai MPKB-BRI.

Kata beliau juga MPKB-BRI tidak akan teragak-agak memulakan tindakan perundangan terhadap Zukila atas perlakuan memfitnah dan menghasut masyarakat dengan dakwaan palsu dan tidak beretika. – HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -