JAS sahkan 54 projek di P. Pinang tidak patuh EIA

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ke atas 85 projek aktif yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di negeri itu mendapati 54 daripadanya disahkan tidak mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

- Advertisement -

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata dapatan itu diperoleh pihaknya hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis atau projek yang mendapat kelulusan EIA sejak awal tahun ini hingga 24 Okt lepas.

“JAS Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan wajib ke atas semua premis atau projek yang mendapat kelulusan EIA untuk memastikan semua peraturan ditetapkan dipatuhi mereka termasuk membabitkan projek berskala besar dan kuari yang ketika ini proses pembinaan di lapangan masih lagi dijalankan.

“Dalam pemeriksaan kami jalankan ke atas 85 premis atau projek yang masih aktif menjalankan kerja di lapangan mendapati hanya 36 peratus iaitu 31 projek mematuhi EIA manakala 54 projek atau 64 peratus projek lagi tidak mematuhi EIA dan jumlah ini agak tinggi, bagi kesalahan itu JAS Pulau Pinang mengeluarkan 23 kompaun dan mengambil tujuh tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar ‘EIA Role In Sustainable Development‘ sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini.

Sharifah Zakiah berkata dalam pemeriksaan pihaknya mendapati antara pelanggaran EIA yang dikesan adalah gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual.

Katanya, syarat kelulusan EIA ini terlalu banyak, namun yang utama JAS Pulau Pinang melihat dari aspek pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual yang jika tidak dipatuhi akan memberi impak kepada masyarakat serta alam sekitar.

“EIA yang membabitkan projek berskala besar memerlukan semua syarat yang ditetapkan dan dipatuhi. Jika pelepasan air tidak ikut syarat serta tidak membuat kawalan hakisan dan kelodakan di tapak, ia boleh menyebabkan bencana alam seperti berlaku banjir dan pencemaran sungai,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, JAS negeri melakukan 1,265 pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis, termasuk projek yang mendapat kelulusan EIA dari awal tahun ini hingga 24 Oktober dan sebanyak 743 pemeriksaan iaitu 58 peratus adalah patuh, manakala 522 pemeriksaan atau 42 peratus tidak patuh.

Menurutnya, sepanjang tempoh yang sama sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis dan 48 tindakan mahkamah diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

“Jumlah premis secara keseluruhan yang patut kita periksa ialah 8,492 namun dengan hanya terdapat 60 staf JAS Pulau Pinang, kami hanya mampu menjalankan pemeriksaan terhadap 15 peratus premis, bagaimanapun kami amat menitikberatkan soal EIA.

“Negeri ini kecil tetapi sangat pesat membangun. Namun, di sebalik kepesatan ini, kami mahu rakyat selesa tinggal di negeri ini dan kita berusaha memastikan alam sekeliling berada dalam keadaan baik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -