Perempuan berlagak lelaki jadi kesalahan di Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu akan mewujudkan seksyen baharu iaitu perempuan berlagak lelaki adalah menjadi satu kesalahan di negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, peruntukan sedia ada hanya memperuntukkan kesalahan bagi lelaki berlagak perempuan sahaja.

“Insya-Allah draf penambahbaikan telah disiapkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri.

“Beberapa enakmen telah dikaji, insya-Allah dalam bulan November akan dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahas serta diluluskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001 Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen, di Hotel Primula, semalam.

Selain itu menurutnya, antara seksyen baharu yang akan dicadangkan di samping 21 pindaan hukuman sedia ada bagi menambah baik hukuman ialah membabitkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, dan persediaan melakukan liwat.

Tegasnya, antara beberapa enakmen yang telah dibuat penambahbaikan dan telah dikaji antaranya ialah memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

“Terdapat penambahan untuk beberapa hukuman dengan dibuat hukuman alternatif untuk peruntukan sedia ada dan telah dipinda antaranya daripada terus ditahan ke penjara diberi kuasa kepada hakim untuk membuat alternatif lain seperti dihantar ke pusat jagaan yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” ujarnya.

Jelasnya kali terakhir enakmen itu digubal pada 20 tahun lalu dan kali terakhir pindaannya adalah pada tahun 2016 dengan hanya melibatkan lima seksyen sahaja.

“Kerana itu Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah berpandangan langkah penambahbaikan itu adalah wajar rentetan pola perkembangan kes-kes jenayah di Mahkmah Syariah semakin meningkat saban tahun dan dikatakan semakin kompleks.

“Dengan adanya pindaan  ini akan memperkukuhkan lagi perundahan syariah di negeri Terengganu dan cadangan pindaan berdasarkan takzir 2001 pindaan 2006 masih lagi dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Syariah) 1965 iaitu Akta 355,” ujarnya lagi. – TRDI.my

- Advertisement -