Kepimpinan: Lima pengajaran hadis Rasulullah SAW

- Advertisement -

عن عوف بن ما لك رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إن شئتم أنبأتكم عن الإمارة وما هي؟ ، فقمت فنا ديت بأعلى صوتي ثلاث مرات. وما هي يا رسول الله؟ قال: أولها ملامة،وثانيها ندامة، وثالثها عذاب يوم القيامة إلا من عدل وكيف يعدل مع أقريبه 

- Advertisement -

“Daripada Auf bin Malik R.A, daripada Rasulullah S.A.W bersabda: Sekiranya kamu mahu, aku akan jelaskan kepada kamu mengenai apakah itu kepimpinan. Lalu aku (Auf) bangun dan menyeru dengan suaraku yang tinggi sebanyak tiga kali dan berkata: Apakah dia (kepimpinan itu) wahai Rasulullah? Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda: (Kepimpinan itu) permulaannya adalah celaan, keduanya adalah satu penyesalan, ketiganya ia adalah azab di hari kiamat kelak melainkan buat pemimpin yang adil. Dan bagaimana seseorang boleh berlaku adil dengan kerabatnya?”

Pengajaran Hadis: 

1. Awalnya celaan. 

Sebelum memperoleh tampuk kepimpinan dalam sistem demokrasi yang rosak hari ini, persaingan untuk mendapatkan kuasa dipenuhi dengan maksiat kepada Allah. Fitnah, membuka aib, menyebar berita palsu, dan pelbagai cara digunakan untuk menjatuhkan pihak lawan. 

2. Penyesalan. 

Segala perbuatan maksiat yang dilakukan ketika bersaing dalam merebut kepimpinan dan kelemahan dalam melaksanakan amanah kepimpinan setelah memperoleh kuasa, kesemuanya akan menjadi penyesalan di akhirat. Semua perbuatan kita di atas dunia walaupun tidak mendapat balasan dunia, ianya akan dibalas di akhirat termasuklah kedudukan sebagai seorang pemerintah. Inilah beban kepimpinan. 

Sebab itu setiap orang yang beriman sentiasa perlu mengukur diri mengenai kemampuannya sendiri untuk melaksanakan amanah. Jika rasa tidak mampu, jauhkan diri. 

3. Azab di hari kiamat.  

Mereka yang gagal menjaga amanah kepimpinan, Allah sediakan azab yang pedih bagi mereka. Tak berbaloi menukar kemegahan dunia dengan neraka Allah. 

4. Pemimpin yang adil. 

Nabi S.A.W menyebut mengenai pemimpin yang adil kerana orang Islam tidak boleh sekali-kali mengabaikan urusan kepimpinan walaupun ia amanah yang berat. Ia sebagai satu peringatan kepada rakyat mengenai perlunya seorang pemimpin itu dipilih dari yang terbaik di antara mereka. 

5. Kemampuan untuk adil kepada ahli keluarga.

Antara ujian besar kepada seorang pemimpin adalah untuk berlaku adil apabila sesuatu perkara itu melibatkan keluarganya walaupun ia mampu berlaku adil kepada semua orang. 

Pada masa ini, seorang pemimpin akan melalui ujian yang berat dalam mendahulukan perintah Allah berbanding kasihnya kepada keluarganya. 

AIREROSHAIRI ROSLAN 
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Pahang 
Ketua Pemuda PAS Pahang – HARAKAHDAILY 25/10/2022

- Advertisement -