Pendidikan Islam awal kanak-kanak sumbangan besar PAS

- Advertisement -

Oleh NURSAM MOHAMMAD

- Advertisement -

PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pendidikan awal kanak-kanak berteras Islam Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah sumbangan besar PAS dalam masyarakat dalam mendidik anak-anak mengenal Allah.

Menurutnya, PAS melalui Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyusun pelbagai modul dan aktiviti yang mengangkat pendidikan tarbiah Islam dalam sistem pembelajaran PASTI.

“Aktiviti kita hari ini membukti bahawa PASTI ini bukan sekadar mengajar kita soal agama, mengenal Tuhan dan Nabi, bahkan mendidik anak-anak kita tentang sunnah sihat tubuh badan dan fizikal bertepatan dengan konsep kesyumulan Islam,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan program Fun Run anjuran Dewan Pemuda PAS dan PASTI Kawasan Putatan bertempat di Perdana Park, Tanjung Aru di sini pagi tadi.

Dr Aliakbar turut mengingatkan agar ibu bapa dan penjaga sentiasa peka dengan keselamatan anak masing-masing daripada perkara yang tidak diingini.

Ketua Pemuda PAS kawasan, Yusrizal Anuar mengatakan program itu adalah julung kali dianjurkan PASTI di seluruh negara bagi menyahut dan menyambut bulan Hari Sukan Negara.

Program itu dihadiri hampir 500 orang murid PASTI dan Serantau Kidz Club, kelab berasaskan seni mempertahankan diri bagi kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 24/10/2022