Harga tiket ‘yahudi’, mahasiswa Sabah luah cuti 5 hari sia-sia

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahasiswa Sabah meluahkan rasa terkilan dengan peningkatan harga tiket kapal terbang yang terlampau mahal dan bersifat ‘yahudi’ ketika musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah, berkata mereka yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung merasakan cuti lima hari khas yang diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sia-sia.

“Terima Kasih diucapkan kepada KPT atas satu inisiatif yang baik daripada kementerian untuk menggalakkan mahasiswa pulang mengundi pada PRU15.

“Namun, terdapat perkara yang mengecewakan mahasiswa khususnya kepada anak Sabah iaitu harga tiket penerbangan ke Sabah masih berada pada tingkat harga yang mahal dan bersifat harga ‘Yahudi’,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Menurut kenyataan itu, harga tiket penerbangan pada musim PRU15 nanti menjadi kerisauan kepada mahasiswa sekiranya mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Katanya, isu tiket penerbangan mahal ke Sabah bukanlah suatu perkara yang baharu, tetapi boleh dikatakan sebagai senario tahunan yang sentiasa dibangkitan.

“Hal ini dek kerana, belum ada jalan penyelesaian yang konkrit dan terancang diambil khususnya oleh kerajaan Negeri Sabah ibaratnya seperti ‘Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.

“Sebelum ini MARSIS juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini iaitu ‘Harga Tiket Ke Borneo Mahal’ pada musim perayaan yang membebankan mahasiswa dan juga anak perantau untuk pulang menyambut hari raya Aidilfitri.

“Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama KPT, Kementeri Pengangkutan, Kementeri Tugas-Tugas Khas dan Ketua Menteri kerana bimbang mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tidak dapat pulang mengundi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, MARSIS dan GAMIS Sabah juga bimbang jika objektif utama KPT memberi cuti pelepasan lima hari tidak tercapai, iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sebagai pengundi.

Katanya, MARSIS dan GAMIS Sabah sangat mengambil berat dengan kebimbangan yang wujud.

Mereka juga berharap wujud persetujuan dan perbincangan yang berfokus bersama syarikat-syarikat penerbangan khusus untuk menyelesaikan masalah isu tiket penerbangan yang terlampau mahal.

Katanya, tindakan ini supaya tanggungjawab sebagai pengundi dapat dilaksanakan oleh mahasiswa serta dapat memanfaatkan cuti pelepasan lima hari dari KPT.

“Kita yakin mereka inilah pemimpin pelapis kepada kepimpinan negeri dan negara dimasa akan datang,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/10/2022

- Advertisement -