Muhyiddin akui Tok Pa bertanding guna logo PAS

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menandatangani akujanji dan lafaz ikrar menolak rasuah.

- Advertisement -

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akujanji dan lafaz ikrar itu menunjukkan komitmen calon mewakili PN supaya tidak melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Amalan ini telah kita lakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka dan semua calon nanti akan angkat sumpah lafaz ikrar dengan nama Allah bahawa mereka bersungguh-sungguh menentang dan tidak akan membuat sesuatu yang menyalahi akta SPRM.

“Tindakan tersebut bagi memastikan semua calon mempunyai integriti yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Penyatuan Ummah di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut yakin PN mampu memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU15 berdasarkan semangat kerjasama yang kukuh antara parti PAS dan Bersatu di negeri ini.

Menurutnya dengan semangat dan kesepakatan yang kukuh di Kelantan lebih memudahkan gerak kerja bagi menarik sokongan rakyat.

Ketika berucap sebelum itu katanya juga calon Bersatu pun akan bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan sebagaimana diputus pada mesyuarat PN sebelum ini.

“Tok Pa (Dato’ Seri Mustapa Mohamed) dan Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga akan bertanding menggunakan logo PAS pada PRU kali ini.

“Perkara itu diputus dengan mengambil kira Kelantan merupakan benteng kekuatan PAS sejak dahulu lagi. Bersatu bersetuju bertanding menggunakan logo PAS asalkan boleh menang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2022