Ada parti komponen PH bersikap anti-Islam

- Advertisement -

Oleh ASLANI M & AIN MANAF

KOTA BHARU:
PAS membuat keputusan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dengan mengambil kira ada komponen parti itu yang bersikap anti-Islam.

- Advertisement -

Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti terbabit secara terang-terangan menolak usaha Kelantan untuk memartabatkan perundangan Islam.

“Saya rasa rakyat pun boleh tahu siapa pemimpin PH yang bersikap antiIslam. Malah ketika peringkat awal PH berkuasa, mereka mahu meratifikasi Statut Rome sehingga menimbulkan bantahan rakyat,” katanya pada ceramah Penyatuan Ummah di Dataran Warisan malam tadi.

Statut Rom yang mahu dikaji kerajaan PH pada 2019 antara lain mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan Raja-Raja Melayu.

Selain itu melibatkan penghapusan hak istimewa Islam, Melayu, Bumiputera dan sama rata agama melalui cadangan ratifikasi ICERD.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, ekoran kemelut yang berlaku itu beliau menggerakkan usaha berunding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan hayat kerajaan PH tidak panjang.

Kata beliau selepas Presiden Bersatu bersetuju, diadakan pula rundingan dengan Umno.

“Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Tan Sri Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH. Saya mencadangkan Presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baharu.

“Umno pun setuju ketika itu sehingga muncul kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan PH. Kewujudan kerajaan PN bukan secara tebuk atap atau pintu belakang. Ini kerana pelantikan Tan Sri Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya selepas Umno mendapat jawatan perdana menteri menggantikan Muhyiddin, parti itu mahu PAS memutuskan pula hubungan dengan Bersatu.

Menurutnya Umno memberi kata dua itu sebagai syarat bagi meneruskan hubungan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

Beliau juga mengingatkan rakyat supaya memilih pemimpin yang mengamalkan ‘amar makruf nahi mungkar’ bagi mewujudkan sebuah negara yang selaras dengan kehendak Islam.

“Rakyat diingatkan jangan sesekali memilih kerajaan yang hanya menabur duit semata-mata. Ini kerana, pembangunan negara dengan cara Islam melalui ilmu bukan dengan duit semata-mata.

“Jangan pilih pemimpin yang menabur duit dan membuat pelbagai janji, tetapi ilmu tidak ada, maksudnya bodoh dan boleh membawa kepada kejahatan. Pengundi jangan salah pilih,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -