Oleh ZULHAIDI MANSOR
KUALA LUMPUR: Pelaku yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran sampah secara terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.
Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASKL), Dato’ Ts Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata adalah menjadi hasrat JASKL agar semua pemegang taruh mematuhi Seksyen 29A larangan atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Diistiharkan) 2003 untuk kebaikan bersama.
Menurut beliau, semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Katanya, tugas untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar dan menjadikan Malaysia sejahtera yang bebas daripada pencemaran bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata, malah ia adalah tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh semua pihak.
“Jabatan Alam Sekitar WP Kuala Lumpur dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan ini ingin memaklumkan bahawa kawasan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka kecuali pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring) berkuatkuasa serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Larangan Pembakaran Terbuka sempena Hari Alam Sekitar Perikngkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Perkarangan Masjid Al Ubudiah Segambut Dalam, Kuala Lumpur.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Masjid Al-ubudiah Segambut Dalam mantan Ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap Dan Rekreasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Zulkifli Endut; Timbalan Pengarah Pertanian(Operasi) Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Juliana Bokhari.
Turut sama, Timbalan Pengerusi Masjid Al -Ubudiah Segambut Dalam, Lt Kol (B) Azman Ariffin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan, JASWPKL, Zulfadzli Zakaria.
Di samping itu katanya, program larangan pembakaran terbuka adalah program yang menfokuskan kepada semua pihak yang terlibat samada komuniti setempat, pelajar sekolah, pihak industri, agensi kerajaan mahupun swasta.
Mengulas lanjut beliau berkata, adalah diharapkan penganjuran program ini khusus kepada komuniti setempat yang juga merupakan pihak berkepentingan (stack holders) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat memahami objektif utama program ini.
Selain itu katanya, melalui penganjuran program ini dapat mewujudkan platform pintar(smart partnership) antara pihak JAS dan pihak berkepentingan dalam menyelesaikan isu dan pemasalahan aduan pembakaran terbuka dan seterusnya meningkatkan kualiti udara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Tambahnya, pembakaran terbuka menurut Seksyen 29A(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling adalah pembakaran terbuka adalah apa-apa kebakaran, pembakaran atau pembaraan yang berlaku di udara bebas dan yang tidak dihalakan melalui serombong atau cerobong, tetapi tidak termasuk aktiviti-aktiviti yang ditetapkan oleh menteri melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
“Bagi kes aduan berkaitan pencemaran udara yang telah diterima pada tahun 2022 oleh JAS WPKL adalah sejumlah 234 yang mana merujuk kepada kes pembakaran terbuka manakala kes pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang telah berlaku di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk dibawa ke mahkamah adalah satu kes sahaja.
“Jabatan juga melakukan sebanyak 80 rondaan daratan setiap sukuan tahun bagi memantau kejadian pembakaran terbuka secara proaktif di dalam Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Rentetan itu, katanya, orang ramai di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga diminta untuk memberikan kerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil serta membuat pelaporan kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat dan Jabatan Alam Sekitar bagi sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan melalui talian Jabatan Alam Sekitar : 038889 1972/1-800-88-2727 atau Jabatan Bomba dan Penyelamat di 999. – HARAKAHDAILY 21/10/2022