Sanah helwah Tuan Guru, moga terus menyalakan lantera akal ummat

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

BULAN Oktober ini dengan musim pra tengkujuh mula menghembuskan pawana, petir sambar menyambar bahkan jutaan tan kubik air mencurah turun membasahi bumi, langit petang muram dan inilah musim ikan darat menjadi galak tak keruan.

Awal bulan ini Ayah Chik menjadi tarikan pesona terbesar kepada pesta tarbiah anak muda haraki di Kompleks Pendidikan Tahfiz an Nur Besut. Lebih 10,000 anak-anak muda termasuk mahasiswa begitu teruja mengunyah pembentangan murabbi ummah.

Dua jam yang sarat dengan ilmu dan pengalaman, sesekali deraian ketawa memecah keseriusan kompleks Tahfiz apabila Ayah chik memberikan contoh yang ‘makan dalam’. Tak kelihatan lelah pada guratan anak Usrah Sheikh Said Hawwa ini bila melihat ribuan anak-anak muda pewaris perjuangan terpaku ditempat duduk masing- masing.

Minggu ini pula adalah minggu yang sibuk dan mendebarkan kepada abnaul harakah. Selepas Parlimen dibubarkan, suhu politik mencanak tinggi dengan PAS dan Ayah Chik menjadi sorotan kepada media dan masyarakat awam negara ini.

Kami bermesyuarat di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut hampir empat jam, dengan adrenalin yang melaju, mengunyah pelbagai pandangan sama ada kekal bersama MN atau PN. Semua pimpinan berucap dan memberikan idea, juga dengan data yang berkaitan.

Tak mudah membuat keputusan secara kolektif, dengan kerencaman dan laras fikir pimpinan yang bervariasi. Ayah Chik melantunkan doa yang syahdu diakhir mesyuarat PAS Pusat, dengan pergantungan sepenuhnya kepada Allah akan keputusan yang telah diambil.

Bergenang air mata kami mengaminkan untaian doa Tuan Guru, berdepan nanti kepada ibu segala pilihan raya sebagai kata Presiden UMNO.

Sosok tubuh inilah yang menjadi sasaran hujaman dan penistaan musuh sejak puluhan tahun yang lalu, anak kelahiran Kampong Rusila yang menjengah keluar daripada rahim bondanya pada 20 Oktober 1947.

Moyangnya daripada keturunan ulama Yaman dan Pattani Darussalam, datuknya adalah kawan baik Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang sama-sama belayar ke Indonesia yang akhirnya terpengaruh dengan Sarekat Islam Indonesia yang berjuang melawan penjajahan Belanda.

Ayahandanya Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman, merupakan ulama tempatan yang berpengaruh dan merupakan Pengerusi Hizbul Muslimin cawangan Terengganu.

Tuan Guru Presiden PAS bukan seorang yang kemaruk kuasa jika nak dikaitkan dengan jawatan Perdana Menteri, PN telah menamakan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika sekiranya PN memenangi PRU 15.

Begitu juga dalam PRU 14 dahulu, jawatan Menteri Besar Terengganu sepatutnya dalam genggaman Tuan Guru namun beliau melepaskan kepada anak didiknya, DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tuan Guru dinobat sebagai ilmuan Islam,bukan sekadar intelektual awam yang mencerahkan ummah namun memimpin gerakan Islam dengan sejuta pendokong dan dua juta penyokong.

Presiden PAS telah mengarang hampir 100 buah buku dan ratusan kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, simposium,konvensyen didalam dan juga luar negara.

Sebagai tokoh kanan gerakan Islam dan mantan Naib Kesatuan Ulama Sedunia, jadual beliau begitu padat menyambangi seluruh belahan dunia Islam. Bermesyuarat, mengisi program, menyantuni peta luka umat Islam serta menjadi tetamu pelbagai gerakan Islam. Sebahagian besar umurnya tercurah di medan dakwah dan perjuangan, walaupun umur semakin meningkat melepasi tujuh dekad.

Sebelum mengenali alam persekolahan, bapanya terlebih dahulu memperkenalkannya tentang ilmu. Tuan Guru Haji Hadi memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila dan mendapat pendidikan Menengah di Sekolah Agama Marang. Beliau seterusnya belajar di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMUZA), sebuah sekolah agama tersohor di negeri Terengganu.

Bakat dan kecemerlangan akademiknya telah dikesan semenjak beliau di bangku persekolahan lagi di mana beliau ditawarkan dengan biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Madinah. Universiti Madinah antara universiti Islam terbaik dunia dan syarat kemasukannya sangat ketat. Antara yang pernah bersama Tuan Guru di Madinah ialah Dato Husien Awang, Ustaz Dato Harun Taib.

Beliau telah melanjutkan pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana (MA) dalam bidang siyasah dan syariah di Universiti al- Azhar, Mesir dan tamat pengajian pada tahun 1976. Beliau mengambil kesempatan belajar di luar negara dengan belajar berkitab dengan sheikh-sheikh terkenal di Madinah dan Mesir sehingga disegani oleh pelajar-pelajar Malaysia di negara tersebut. Ayah Chik hidup dalam timbunan kitab dan jadual yang padat berlanglangbuana memandaikan ummat.

Presiden PAS bergulat dalam tempoh yang panjang dimedan politik , juga medan dakwah,
Sekembalinya pada tahun 1976 daripada pemukiman ilmu, beliau telah dilantik sebagai Ketua pemuda PAS Terengganu. Dan beliau dilantik sebagai Ketua ABIM Terengganu. Namun kelincahan beliau telah menenggelamkan fungsi beliau sebagai pengerusi ABIM Terengganu.

Beliau pernah menjadi Exco Dewan Pemuda PAS yang paling aktif menggerakkan program kaderisasi kepada pelajar dalam dan luar negara. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Pembenci-pembenci perlu tahu bahawa Tuan Guru Haji Hadi, bukan sahaja terlibat dengan aktif di pentas Politik dalam negara, bahkan juga di pentas antarabangsa. Beliau telah dilantik menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam pada tahun 2014 di mana Dr Yusuf al Qardawi menjadi ketuanya.

Perlantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada umat Islam di sebelah Asia Tenggara di mana pelbagai isu besar ummat sedang berlangsung. Ilmu bersalut pengalaman dalam politik dan dunia kesarjanaan ini memandu tindakan politik Presiden PAS selama ini,apatah lagi PAS dipandu oleh Majlis Syura Ulama.

Semoga Allah kurniakan kesihatan kepada Ayah Chik untuk terus membimbing kami dan menakhodai bahtera harakatul ummah ini yang telah berjasa lebih tujuh dasawarsa. Semoga Allah mengurniakan juga kemenangan buat jamaah ini dalam PRU 15 sebagai hadiah harijadi paling indah buat murabbi ummah ini! – HARAKAHDAILY 20/10/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI

- Advertisement -