Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu akan diumumkan sebaik sahaja mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya berharap pelantikan itu dapat diselesaikan sebelum Sidang Bajet Kedah 2023 pada 30 November ini.
“Sekiranya angkat sumpah Exco baharu tidak berlaku sebelum Sidang Bajet Kedah 2023, saya akan menjawab soalan-soalan berkaitan portfolio terbabit.
“Walau bagaimanapun, saya mengharapkan pelantikan itu selesai sebelum sidang bajet ataupun selepas sidang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Sefahaman (MoU) Pembangunan Projek Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sungguhpun begitu, jelasnya, nama berkenaan tidak boleh diumumkan sehingga mendapat perkenan Tuanku Sultan terlebih dahulu.
Tambahnya, sebelum mempersembahkan nama Exco yang dicadangkan, pihaknya perlu mengemukakan surat pelantikan Exco sebelumnya terlebih dahulu.
“Proses pelantikan ini agak rumit dan terdapat langkah-langkah tertentu yang perlu dilakukan,” katanya lagi.
Pelantikan Exco baharu ini bagi mengisi kekosongan berikutan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air & Sumber Air negeri, Dato’ Suraya Yaacob yang meletakkan jawatan minggu lalu.
Mengulas lanjut, kata Sanusi, hanya seorang sahaja yang dicalonkan untuk menggantikan jawatan terbabit walaupun secara umumnya semua Adun kerajaan layak. – HARAKAHDAILY 20/10/2022