Anak muda perlu hayati sejarah jatuh bangun PAS Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai berpeluang menghayati sejarah jatuh bangun perjuangan PAS dan pemimpinnya sepanjang 32 tahun menerajui kerajaan Kelantan.

Sebanyak 14 PAS kawasan termasuk Badan Perhubungan PAS Kelantan menyertai pameran tersebut sempena sambutan 32 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

Pengerusi Jawatankuasa Pameran PAS Kelantan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, pameran itu diadakan selama tiga hari menyasarkan golongan belia khususnya mereka yang menjadi pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU.

“Pameran diadakan sempena sambutan 32 tahun dasar Membangun Bersama Islam bermula semalam dan kemuncaknya esok diadakan ceramah penyatuan ummah.

“Golongan belia dapat mengenali sejarah awal perjuangan PAS sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di ruang pameran tersebut semalam.

Abdul Fattah yang juga Adun Bukit Panau berkata, dokumen, gambar dan risalah yang dipamerkan merupakan sejarah yang dilalui PAS sehingga mampu mentadbir Kelantan sehingga sekarang melewati 32 tahun.

Menurutnya perjuangan generasi dahulu yang bertungkus lumus mempertahankan PAS wajar dijadikan tauladan dan pengajaran kepada anak-anak muda.

“Apabila menghayati segala dokumen, gambar dan keratan akhbar ia mampu membangkitkan semangat generasi muda bagi mempertahankan kerajaan PAS Kelantan.

“Selain itu dapat menjawab persepsi yang tidak betul mengenai PAS berdasar dokumen yang dipamerkan,” katanya.

Kata beliau juga pihak penganjur menyediakan hadiah berupa sebuah motosikal dan basikal serta 30 hamper bagi pengunjung yang menyertai kuiz pameran.

Katanya hadiah akan disampaikan kepada pemenang pada malam 21 Oktober sempena kemuncak sambutan 32 MBI. – HARAKAHDAILY 20/10/2022