Tertipu dengan kegemilangan masa lampau?

- Advertisement -

PADA 9 Oktober lepas Arsenal mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris atau English Premier League (EPL) apabila menundukkan Liverpool 3-2 di tempat sendiri. Dengan kemenangan tersebut Arsenal berada di kedudukan teratas mengatasi juara musim lepas Manchester City dengan 1 mata. Sementara ketika itu Liverpool juara pada musim 2019/20 hanya berada di tempat ke 10. Satu kedudukan yang sudah tentu amat mengecewakan bagi penyokong-penyokong kelab itu yang mahu melihat kelab mereka menjadi juara sekali lagi.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun pada 13 Oktober, Liverpool telah membelasah kelab Scotland Rangers 7-1 di dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-juara UEFA atau UEFA Champions League ( UCL ). Penyerang Mohamed Salah telah menjaringkan 3 gol dalam masa 6 minit. Satu rekod untuk hatrick terpantas UCL. Tetapi adakah kemenangan ini merupakan isyarat untuk kebangkitan kelab yang pernah mendominasi bola sepak Inggeris pada tahun-tahun 70-an dan 80-an? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Pada dekad-dekad tersebut, memang tidak ada pencabar yang dapat menandingi kehebatan Liverpool. Mereka berjaya menjadi juara liga sebanyak 4 kali pada dekad 70-an dan 6 kali pada dekad 80-an. Pada dekad-dekad itu mereka telah juga memenangi Piala Eropah (UCL) 4 kali, Piala UEFA 2 kali, Piala FA 3 kali dan Piala Liga (sekarang Piala EFL) 4 kali. Walau bagaimanapun selepas itu mereka hanya dapat menjuarai EPL pada musim 2019/20 iaitu 30 tahun selepas kejuaraan terakhir mereka.

Walaupun pencapaian kelab-kelab seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea selepas tahun 2000 jauh meninggalkan Liverpool namun begitu ‘The Reds’ merupakan di antara kelab yang memiliki bilangan penyokong yang teramai di Malaysia. Mungkin bukan disebabkan kejayaan-kejayaan terkini mereka memenangi kejohanan atau piala tetapi kerana gaya permainan yang menarik. Pada musim lepas kita dapat melihat gandingan Mohamed Salah dan Sadio Mane sebelum Mane berpindah ke Bayern Munich. 

Kejayaan utama Liverpool selepas tahun 2000 selain dari kejuaraan liga adalah memenangi UCL 2 kali, Piala Dunia Kelab FIFA sekali, Piala FA 3 kali dan Piala EFL 4 kali. Namun untuk kejuaraan liga, Liverpool sering dikecewakan oleh sama ada Manchester City, Manchester United atau Chelsea. Mereka sentiasa terlepas hadiah utama bola sepak Inggeris itu. 

Walau bagaimanapun penyokong-penyokong kelab Mesreyside tersebut tetap tidak berganjak. Mungkin berdasarkan kegemilangan-kegemilangan masa lampau mereka, penyokong-penyokong tetap setia dan mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku. Tetapi bagaimanakah sikap pemilik-pemilik kelab? Adakah mereka hanya bersandarkan kegemilangan masa lampau untuk mengubah nasib kelab mereka? Adakah mereka telah melakukan sesuatu yang drastik?

Satu cara untuk menilai kesungguhan mereka adalah dengan melihat perpindahan pemain pada musim panas yang lepas (Summer 2022 Transfer Window). Menurut Sporting News, sehingga 1 September 2022 Chelsea merupakan kelab yang paling banyak berbelanja dengan 253.79 juta pound. Sementara Manchester United di tempat kedua dengan perbelanjaan melibatkan 214.22 juta pound. Liverpool hanya membelanjakan 81.27 juta pound.  Malah West Ham (163.80 juta pound), Nottingham Forest (145.76 juta pound) dan Newcastle (112.40 juta pound) berbelanja lebih banyak dari Liverpool pada tempoh tersebut.

Penyokong-penyokong Liverpool mungkin tidak akan bersetuju dengan saya kerana pada 16 Oktober lepas kelab itu telah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Liverpool telah mengalahkan Manchester City 1-0 melalui jaringan Salah. Kemenangan ini boleh menjadi titik permulaan untuk kebangkitan semula kelab ini. Tetapi kemenangan itu boleh membuat mereka merasa selesa dan berpuas hati lalu tidak membuat apa-apa perubahan.

Di dalam hidup, bersandarkan kegemilangan di masa yang lampau adalah juga amat merbahaya. Sebuah organisasi jika terlalu terpesona dengan kejayaan-kejayaan di masa yang lampau akan terlepas pandang kepada realiti masa kini. Ia akan membuat perancangan yang tidak berdasarkan realiti tetapi berdasarkan kekuatan dan keupayaan ketika zaman kegemilangannya. Akhirnya organisasi tersebut menjadi sombong dan angkuh walhal orang ramai memerhatikannya sambil menunggu masa untuk bertepuk tangan jika apabila jatuh tersungkur.

Perkara ini juga amat benar bagi parti-parti politik. Mereka perlu merancang berdasarkan realiti semasa. Mereka tidak boleh menganggap kekuatan mereka serupa seperti ketika zaman kegemilangannya. Masyarakat sentiasa berubah. Masyarakat hari ini lebih bijak dan lebih teliti memandangkan maklumat yang boleh diperolehi dengan begitu mudah. 

Saya yakin Liverpool akan bangkit semula dan kemenangan ke atas Manchester City minggu ini tidak akan membuat mereka leka dan menganggap kemenangan demi kemenangan akan datang bergolek dengan mudah. Liverpool bukan parti politik yang setelah memenangi pilihan raya – pilihan raya negeri menganggap zaman kegemilangan mereka akan kembali. Liverpool lebih bijak dari itu.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -