Susunan ZULHAIDI MANSOR
MANCHESTER: Universiti pertama di dunia yang telah dibina lebih 1,000 tahun lalu, University of al-Qarawiyyin di medina (kawasan purba dari segi sejarah) dalam bandar Fez di Maghribi oleh pengasasnya yang merupakan seorang wanita Islam, Fatima al-Fihri.
Al-Fihri atau nama penuhnya, Fatima Muhammad Al-Fihriya Al-Qurashiya yang dilahirkan pada tahun 800 di Tunisia berasal daripada keluarga kaya dan terpelajar, yang mana bapa beliau, Mohammed Bnou Abdullah al-Fihria adalah seorang saudagar kaya di Fez semasa pemerintahan kesultanan Idris II.
Beliau berhijrah ke Maghribi dari Tunisia bersama-sama bapa dan kakaknya pada awal abad ke-9, lapor manchesteruniversitypress.co.uk.
Setelah kematian bapanya, Al-Fihri mewarisi kekayaan yang banyak dan beliau lalu melaburkan kekayaan yang diwarisinya itu untuk mengasaskan pembinaan masjid yang berfungsi sebagai institusi pendidikan untuk manfaat masyarakat setempatnya.
Secara beransur-ansur, penubuhan masjid berkenaan berkembang menjadi Universiti al-Qarawiyyin, yang dinamakan sempena tempat kelahiran Fatima – Qayrawan.
Ditubuhkan pada tahun 859, Universiti al-Qarawiyyin adalah institut pendidikan pemberi ijazah pertama di dunia yang diiktiraf Guinness World Record dan UNESCO sebagai universiti tertua di dunia.
Mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh dunia mengembara ke situ untuk mempelajari pelbagai subjek, dari sains semula jadi kepada bahasa dan astronomi.
Fatima sendiri turut belajar di universiti berkenaan yang pada zaman pertengahan, universiti dianggap sebagai pusat intelektual utama.
Universiti al-Qarawiyyin yang masih beroperasi hari ini berkenaan turut menempatkan salah satu antara perpustakaan tertua di dunia.
Perpustakaan tersebut mengandungi lebih 4,000 manuskrip, termasuk teks Muqaddimah karya sejarawan terkenal Ibn Khaldun pada abad ke-14.
Perpustakaan itu baru-baru ini menjalani pengubahsuaian dipelopori oleh arkitek wanita Aziza Chaouni, yang bekerja keras untuk mengubah suai perpustakaan dan memberikannya pembaharuan.
Pandangan jauh dan komitmen Fatima, di samping sumbangannya yang tidak mementingkan diri sendiri ke arah memperjuangkan kemajuan intelek, membawa kepada penubuhan universiti yang monumental berkenaan.
Warisan luar biasa dedikasi dan usaha memperkasakan beliau sebagai tokoh contoh adalah wajar dan wajib menjadi sumber inspirasi untuk semua.
Sementara itu, hantaran di Facebook Ummati of Prophet Muhammad, May Peace and Blessings be upon HIM mengatakan universiti yang diasaskan oleh Fatima berkenaan telah dimasukkan ke dalam sistem universiti negeri moden Maghribi pada tahun 1963.
Pendidikan di universiti ini memfokus terhadap subjek sains agama dan undang-undang Islam dengan penekanan berat dan kekuatan tertentu dalam tatabahasa/linguistik Arab Klasik dan undang-undang Maliki.
Pengajaran disampaikan adalah dengan kumpulan pelajar perlu duduk dalam separuh bulatan mengelilingi seorang syeikh, yang akan meminta mereka membaca bahagian teks, bertanyakan soalan kepada mereka, menerangkan perkara yang sukar untuk difahami.
Menurut laman web DW.com pula, Fatima al-Fihri sangat dihormati dalam kalangan agamawan Islam terutamanya di Fez.
Pada 2017, anugerah khusus telah dicipta di Tunisia sebagai penghormatan kepada beliau dan ia memberi ganjaran kepada inisiatif yang menggalakkan akses kepada latihan dan tanggungjawab profesional untuk golongan wanita.
Sehubungan itu, universiti berkenaan telah melahirkan ramai cendekiawan dan graduan tersohor dunia termasuklah beberapa penyair, Faqîh (ahli hukum Islam), ahli astronomi dan ahli matematik dari seluruh rantau ini.
Nama-nama terkenal itu termasuklah ahli sejarah Abdurahman Ibn Khaldun; doktor dan ahli falsafah Abu Walid Ibn Rushd; doktor Andalusia Musa Ibn Maimonou; dan Gerbert dari Aurillac, yang kemudian menjadi Pope Sylvester II. –HARAKAHDAILY 19/10/2022