Apakah masa depan ekonomi gig?

- Advertisement -

EKONOMI gig menurut Oxford Centre ditakrif sebagai seseorang yang mempunyai pekerjaan sementara atau melakukan kerja yang berasingan; dan setiap pekerjaan atau kerja dibayar secara berasingan, dan bukannya bekerja untuk majikan.

- Advertisement -

Pandemik COVID-19 yang melanda telah merancakkan lagi perkembangan ekonomi gig di negara kita. 2021 mencatatkan jumlah pekerja ekonomi gig sebanyak 4 juta orang berbanding 500,000 pekerja sebelum COVID-19.

Dalam keadaan ekonomi penuh ketidaktentuan sewaktu pandemik yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat, ekonomi gig yang bersifat kerja sementara, fleksibel masa serta bebas daripada ikatan kontrak (freelancer) menjadi pilihan utama rakyat.

Bukan saja itu, sektor ini juga menjadi tempat kepada graduan baharu, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesara dan individu menyara keluarga dalam kalangan B40.

Sektor ini amat berkait rapat dikaitkan dengan pekerjaan membabitkan penggunaan aplikasi dan platform digital selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) sekarang.

Fakta menunjukkan, kebanyakan pekerja gig adalah penunggang e-hailing sebagai pengantara yang menghubungkan penyedia dan juga pengguna aplikasi seperti GrabFood, FoodPanda, Lalamove, Shoppee eXpress atau Speedy.

Perkembangan sektor ekonomi ini turut disambut baik oleh pihak kerajaan apabila  kerajaan turut dilapor memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025.

Namun begitu di sebalik perkembangan yang ‘positif’ buat sektor pekerjaan ekonomi gig ini, masih terdapat beberapa isu dan masalah yang patut menjadi kerisauan bersama khususnya pihak pembuat polisi. Antaranya:

i. Ketiadaan polisi khusus demi menjaga kebajikan pekerja ekonomi gig.

ii. Pekerja ekonomi gig tidak diiktiraf bawah Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

iii. Tidak mendapat faedah gaji minimum.

iv. Pendapatan yang tidak konsisten bergantung kepada permintaan aplikasi.

v. Sifat pekerjaan ekonomi gig yang bersifat sementara.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Prof Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor ekonomi gig di Malaysia tidak sepatutnya berdepan dengan regulasi yang ketat kerana ia memberi peluang pendapatan tambahan kepada rakyat selain menyediakan jaringan keselamatan.

Namun ini tidak bermakna nasib pekerja ekonomi gig wajar digantung tidak bertali begitu sahaja.

Oleh sebab itu, rangka tindakan (blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang telah dirangka Unit Perancangan Ekonomi Malaysia untuk memacu ekonomi negara ke arah negara berdigital dan berpendapatan tinggi wajar diteruskan seterusnya ditambah baik mengambil kira perangkaan dasar dan polisi bagi ekonomi gig yang lebih mampan.

Kebajikan rakyat wajar diimbangi dengan perkembangan daya saing rakyat dalam pelbagai bidang. Dalam konteks ekonomi gig, kerajaan tidak boleh bertindak selesa dengan membiarkan status quo kekal begini sahaja, rakyat pula tidak wajar dididik agar selesa dengan pekerjaan ekonomi gig yang amat ‘volatile’ serta terdedah kepada permainan kapitalis.

Bersama kita pilih pembuat dasar dan polisi yang terbukti meletakkan kebajikan rakyat serta keseimbangan perkembangan karier mereka dalam keutamaan teratas.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -