Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi semakin rancak bertebaran fitnah dan gosip terutamanya di media sosial.
Terbaharu Menteri Tenaga dan Sumber Asli menjadi sasaran apabila tular di media sosial kononnya berkahwin dengan seorang menteri wanita baru-baru ini.
Menjawab isu tersebut Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.
“Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 atau 15 tahun kebelakangan saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa sahaja.
“Tempoh 10 tahun itu bermakna dua kali pilihan raya umum, 15 tahun pula tiga kali (pilihan raya). Saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja dalam tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada penberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan di sini, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial Takiyuddin didakwa berkahwin dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Harun. – HARAKAHDAILY 18/10/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!