Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
MACHANG: Enam pasar malam iaitu di Gua Musang, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Ketereh dan Tumpat berwajah baharu melalui Program Transformasi Pasar Malam (PTPM).
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dato’ M Noor Azman Taib berkata, seramai 1,650 peniaga mendapat manfaat melalui program berkenaan.
Katanya tiga daripadanya sudah melaksanakan PTPM oleh Majlis Daerah Machang, Majlis Daerah Pasir Puteh dan Majlis Daerah Bachok, manakala tiga lagi bakal dinaik taraf tidak lama lagi.
“Susulan pandemik yang berlaku sebelum menjadikan pasar malam sepi, jadi kita mahu operasi pasar malam rancak semula bagi menjana ekonomi penduduk.
“Maka terhasilah agenda dan aspirasi di peringkat KPKT untuk mewujudkan PTPM,” katanya selepas merasmikan Pelancaran PTPM Peringkat Kelantan di Pasar Malam Jalan Kweng Umat di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Noor Ihsan Che Mat dan Ketua Jajahan Machang, Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain.
Antara elemen baharu yang diterapkan di pasar malam terbabit merangkumi penambahbaikan kemudahan asas, di samping mementingkan keselamatan peniaga dan pengunjung.
Selain itu PTPM mengintegrasikan keperluan di bawah Garis Panduan Pengurusan Pasar KPKT dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
M Noor Azman juga berkata, langkah transformasi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit, kebersihan, keselamatan dan keselesaan pengunjung.
“Inisiatif ini sebagai penambahbaikan kemudahan asas dan aspek keselamatan dengan pelantikan Marshal Pasar Malam, kemudahan CCTV dan kabin penganjur pasar malam.
“la turut meliputi penjarakan fizikal antara penjual dan pelanggan, gerai-gerai, laluan sehala dan penyeragaman pengoperasian pasar malam dalam usaha memperkasakan komuniti peniaga pasar malam,” katanya.
Pelaksanaannya kata beliau dijalankan secara berperingkat-peringkat yang melibatkan 50 tapak pasar malam di seluruh negara bermula tahun ini.
Bagi fasa pertama, sebanyak 23 tapak pasar malam di lokasi terpilih akan dinaik taraf dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan RM25 juta peruntukan bagi pelaksanaan program Transformasi Pasar Malam. – HARAKAHDAILY 17/10/22