Perkeso bantu belia Pulau Pinang

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Negeri Pulau Pinang membantu belia setempat mencari pekerjaan,

Dalam Karnival Kerjaya Malaysia Sejahtera anjuran bersama dan beberapa pihak di sini, kelmarin berjaya menyediakan 1,500 peluang pekerjaan khususnya kepada belia.

Pengarah program, Nor Zamri Latiff berkata, walaupun hujan lebat pada pagi program tetap mendapat sambutan orang ramai.

Menurutnya yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS negeri, program seperti itu akan diteruskan sebagai acara tahunan di peringkat Parlimen Nibong Tebal.

Katanya, turut hadir pada karnival itu ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan Pengarah Perkeso negeri, Mustafa Draman.

Nor Zamri merakamkan jutaan terima kasih kepada Perkeso, Lajnah Pekerja dan Pengguna Nibong Tebal, ARC, Belia Proaktif, Komuniti Keluarga Malaysia Bandar Tasek Mutiara dan Masjid As Solihin Kampung Kepala Gajah yang berusaha menjayakan program terbabit.

Mustafa dalam ucapannya berharap kesedaran masyarakat yang berkelayakan agar mencarum Perkeso sama ada pekerja formal atau bekerja sendiri.

Katanya dengan caruman itu pencarum diberi perlindungan pendapatan jika ditimpa musibah dalam usaha mencari nafkah.

“Pada hari ini Perkeso membuka ruang dengan membawa majikan tampil menawarkan 1,500 pekerjaan kepada masyarakat yang memerlukan pekerjaan,” ujar beliau.

Pencari pekerjaan, Mohd Syahir Abdul Rahman, 25, dari Batu Maung mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur karnival untuk rakyat.

Ujarnya, dia terpaksa mencari pekerjaan baharu disebabkan kilang tempatnya bekerja akan ditutup tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Perkeso turut menyampaikan sepuluh sumbangan hamper Perkeso Prihatin kepada beberapa asnaf yang berkelayakan. – HARAKAHDAILY 16/10/2022

- Advertisement -