Muslimah PAS Sabah anjur munajat hadapi PRU15

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

- Advertisement -

SANDAKAN: Muslimat PAS Sabah menganjur program munajat bagi menghadapi peperangan saraf menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Program Gelombang Munajat Akifi Negeri Sabah itu dianjurkan Skuad Munajat Halwa Zon Sandakan di Surau Al-Fattah, Kampung Kombo Sandakan pagi tadi.

Program bermula jam 9 pagi disertai hampir 100 peserta termasuk pimpinan dan ahli PAS serta penduduk Kampung Gelam.

Ketua Muslimat Negeri Norsah Bongsu berkata, program munajat begitu penting diadakan sebagai benteng ampuh bagi membina kekuatan dalaman ahli dan penyokong PAS.

Katanya amalan seperti solat tahajud dan qunut nazilah harus dilazimi dan dihayati sepanjang masa lebih-lebih lagi ketika menghadapi PRU.

“Munajat juga menjadi sumber kekuatan bagi ibu bapa bagi mendidik anak-anak mengikut acuan agama. Ia agar anak-anak mendapat perlindungan daripada Allah dan menjauhi daripada terlibat dengan gejala negatif dan perkara mungkar,” katanya pada program tersebut.

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia Salamiah Mohd Nor yang turut hadir menginggatkan peserta tidak mengabaikan masa terluang dan guna masa untuk perkara yang berfaedah dan bermanfaat bagi ummah.

Katanya munajat antara program berfaedah yang boleh dijadikan rutin harian, sebagai salah satu usaha dan sandaran untuk raih kekuatan ketika berhadapan dengan musuh-musuh Islam.

Manakala ahli jawatankuasa Muslimat Cawangan Kampung Gelam, Hasmir Lankaing melahirkan rasa gembira dan besar hati kerana Muslimat PAS menganjurkan program tersebut di Kampung Gelam. – HARAKAHDAILY 15/10/2022

- Advertisement -