Kepentingan wala’ dan tsiqah dalam perjuangan PAS

MARI kita buka bicara ini dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah Assyura ayat 15:

Advertisement

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَقُلْ آمَنْتُ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنْ كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

“Kerana itu, serulah (mereka beriman) dan tetaplah (beriman dan berdakwah) sebagaimana diperintahkan kepadamu (Muhammad) dan janganlah mengikuti keinginan mereka dan katakanlah,” Aku beriman kepada kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan agar berlaku adil di antara kamu. Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami perbuatan kami dan bagi kamu perbuatan kamu. Tidak (perlu) ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya-lah (kita) kembali.”

Buya Hamka berpendapat dengan ayat ini, Rasulullah S.A.W telah diberikan dua perintah :

Pertama: Kerja dakwah diteruskan, ajakan dan seruan tidak boleh berhenti. 

Kedua: Memperteguhkan pendirian. Harus tegak dan lurus dengan keyakinan kepada Allah.

“Kemudian suatu dakwah tidak akan jaya, kalau yang berdakwah tidak mempunyai istiqamah, dan jangan pula pedulikan hawa nafsu mereka yang hendak membawa kepada pertengkaran hingga sangat menghabiskan tenaga. Inilah pendirian Islam yang telah digariskan di Makkah. Dan setelah Hijrah ke Madinah, pendirian ini pun tetap dipegang teguh. Sehingga diperbuat perjanjian damai dengan suku-suku Yahudi di Madinah, tetapi mereka sendiri yang mengkhianati perjanjian itu.”

Al-Maraghi menjelaskan bahawa Allah S.W.T menyuruh mereka agar bersatu dalam agama dan jangan berpecah belah, setelah mereka didatangi ilmu dengan berbuat aniaya dan dengki, membangkang dan sombong.

Maka Allah S.W.T menyuruh Rasullah S.A.W agar mengajak mereka kepada kesatuan, pada agama yang hanif dan berpegang teguh padanya, juga disuruh agar berdakwah kepada agama tersebut, dan jangan mengikuti hawa nafsu yang batil.

Inilah signal kepada kita untuk terus beristiqamah dalam menghadapi segala ujian yang berlaku dalam kerja dakwah. Apa pun cabaran yang mendatang sejak dahulu tidak akan menjadi peluntur semangat kepada kita untuk terus berjuang di dalam harakah ini.

Bahkan kemenangan tidak pula menjadikan kita alpa dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi-Nya.

Di antara prasyarat istiqamah yang digariskan oleh Imam al-Maraghi adalah kesatuan di dalam agama dan jangan berpecah belah.

Oleh kerana itu, kesatuan di dalam harakah ini tidak dapat tidak hanya dapat dibentuk daripada wala’ dan thiqah (kepercayaan) pada kepimpinan. Sepertimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam Surah al-Nisa’ :
 
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli al-Amri” (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”  

[al-Nisa’: 59]

Maka dalam situasi politik hari ini, bekalan yang paling utama kepada ahli di semua peringkat ialah thiqah kepada kepimpinan jamaah. As-Syahid Hasan al-Banna pernah berkata: 

“Yang aku maksudkan dengan ‘Thiqah’ ialah berlapang dada atau tenang atau percaya dan yakin serta rasa puas seorang tentera (amilin atau pejuang) kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya (pemimpin) dengan lapang dada atau tenang dan yakin yang mendalam hingga dapat menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.”

Dalam konteks ini, kita semua mesti dididik agar memiliki sifat berlapang dada, tenang, percaya dan yakin kepada Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulamak, Presiden serta seluruh saf kepimpinan PAS. 

Thiqah pada kepimpinan merupakan hal dalaman dari sudut rasa ketenangan dan keyakinan ahli terhadap kemampuan, keikhlasan dan sifat amanah pemimpin dengan perasaan yang cukup mendalam yang terbahagi kepada tiga :

1. Wala’ dan Tsiqah kepada dasar dan prinsip Islam.

2. Wala’ dan Tsiqah kepada kepimpinan.

3. Wala’ dan Tsiqah kepada strategi dan pendekatan.

Di antara petanda gerak kerja yang menzahirkan bahawa hati para ahli mempunyai thiqah kepada pemimpin ialah hormat dan mentaati semua arahan yang diberikan tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi atau rasa kekurangan, jauh sekali terselit rasa ingin mengingkari dan menyelewengkan arahan. Natijah terhasil daripada thiqah ialah rasa kasih, penghargaan, hormat dan hati yang taat sepenuhnya kepada pimpinan.

Oleh sebab itulah di dalam gerakan dakwah ini seperti yang disebut oleh as-Syahid Hasan al-Banna bahawa hubungan amilin dan pemimpin itu sebagaimana hak seorang ayah dalam hubungan hati, hak seorang guru dalam mengambil manfaat ilmu, hak seorang syeikh dalam pendidikan rohani atau proses tarbiyah kerohanian dan hak pemimpin dalam menentukan percaturan politik secara umum bagi dakwah di mana di dalam PAS terhimpun nilai-nilai tersebut secara keseluruhan.

Maka dalam menghadapi pilihanraya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi, Tuan Guru Presiden telah memutuskan halatuju jamaah bahawa PAS terus istiqamah dengan prinsip Islam di atas platform Perikatan Nasional bagi menjernihkan politik negara dengan menolak kebobrokan dalam Pakatan Harapan dan membuang kekeruhan dalam Barisan Nasional.

Justeru itu marilah kita semua ahli PAS di semua peringkat terus beristiqamah dan mempamerkan tsiqah yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan keputusan parti serta berkerja bersungguh – sungguh agar kita semua mampu memperolehi keputusan cemerlang setelah berakhirnya pilihanraya kelak.

Semoga Allah SWT terus memberikan kita semua kekuatan, keazaman dan keyakinan dalam menempuhi saat – saat bakal merubah masa depan kita semua tidak lama lagi.

Malaysia Sejahtera

YB DR MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 15/10/2022