Kestabilan politik negara hanya boleh dicapai dengan Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kestabilan politik negara amat bergantung kepada kebijaksanaan dan kepimpinan parti-parti politik terhadap pandangan masa hadapan dalam membawa arah tuju negara. 

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, rakyat tidak harus dibebankan dengan ketidaktentuan politik yang pastinya mengakibatkan kecelaruan dasar negara. 

“Sekiranya rakyat dibebankan dengan ketidakstabilan dan ketidaktentuan sebuah politik, maka rakyat akan sentiasa berada dalam penuh tanda tanya dan juga mencari-cari ke manakah hala tuju yang hendak dibawa oleh pimpinan negara.  

“Bagi menghadapi semua dugaan-dugaan yang terpaksa dihadapi oleh sesebuah negara tersebut. Jadi kecelaruan di sini boleh kita lihat apabila dasar sesebuah negara itu seolah-olah tidak dinyatakan dengan jelas. 

“Dan siapakah yang penerus kepada dasar yang telah dibentangkan itu. Ini merupakan suatu perkara yang tidak diingini oleh semua sama ada ianya daripada pihak parti, ianya daripada pihak luar, sama ada ianya pelabur dan juga penduduk setempat,” ujarnya. 

Demikian itu katanya, pilihan raya adalah alternatif kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik bagi menghadapi masa depan di mana PAS bersedia untuk menerima tanggungjawab itu. 

“PAS akan masuk (PRU15) dengan penuh persediaan khususnya di tengah-tengah kecelaruan politik negara. Kita lihat negara kita agak tidak stabil yang mana menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal pilihan raya. 

“Ianya merupakan satu perkara yang agak luar daripada kebiasaan,” ujar beliau yang diwawancara dalam rancangan Bicara Siasah secara langsung di laman Facebook Legasi Tok Guru kelmarin dahulu. 

PAS jelas beliau, memilih panduan yang jelas yakni berdasarkan kepada al-Quran dan Hadis sejak daripada awal penubuhan bagi memperolehi kestabilan politik dicapai di dalam negara atau negeri. 

“Kerana PAS berkeyakinan inilah satu-satunya kaedah yang akan memandu sama ada ianya pemimpin, pembantu ataupun penyokong, dan juga rakyat terbanyak ke arah suasana politik yang baik bagi sesebuah negara,” ujarnya. 

Menurutnya, pilihan rakyat kepada nilai berasaskan Islam ini akan membawa mereka kembali kepada fitrah manusia itu senditi tanpa mengira bangsa dan agamanya kerana ia nilai terbaik. 

Malah jelasnya, PAS telahpun menawarkan kepada pengundi sejak dari tahun 1951 iaitu penyelesaian kepada masalah politik adalah dengan kembali kepada Islam yang mesti dilaksanakan dalam pemerintahan kerajaan. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

- Advertisement -