Susunan ZULHAIDI MANSOR
ZURICH: Kerajaan Switzerland akan mengenakan denda sehingga CHF1,000 (RM4700) bagi setiap individu yang melanggar larangan menutup muka dengan memakai burqa di tempat awam di negara itu.
Perkara ini merupakan sebahagian daripada rang undang-undang yang dihantar ke parlimen pada Rabu (12 okt) waktu tempatan untuk melaksanakan ‘larangan burqa’ yang dicadangkan oleh sayap kanan kerajaan negara itu yang memenangi kemenangan tipis dalam referendum pada tahun lepas, lapor Swiss Info.
Walaupun dikenali sebagai ‘larangan burqa’, undang-undang itu kelak terpakai kepada peminat bola sepak bertopeng dan juga wanita Islam yang memakai niqab.
Perancangan untuk mengenakan hukuman denda sehingga CHF10,000 sebelum ini telah digugurkan selepas rundingan diadakan, kerana ia dianggap agak keterlaluan.
Kerajaan Switzerland berkata bahawa pelaksanaan larangan burga akan dilakukan melalui undang-undang baharu dan bukannya dengan meminda kanun keseksaan, seperti yang dicadangkan pada asalnya kerana langkah berkenaan lebih sesuai untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara itu.
Menurut laporan Al Jazeera, larangan yang dicadangkan itu juga dikenali sebagai ‘larangan burqa’ yang disokong oleh 51.2 peratus pengundi, tetapi pada masa itu dikritik sebagai bermotifkan Islamofobia dan seksis.
“Larangan menutup muka bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. Hukuman bukan keutamaan,” kata kenyataan pejabat kerajaan Switzerland dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, beberapa pertubuhan Islam telah menentang larangan burqa ini.
“Melabuhkan kod pakaian dalam perlembagaan bukanlah perjuangan pembebasan untuk wanita tetapi satu langkah kembali ke masa lalu.
“Nilai Swiss berkecuali, toleransi dan perdamaian telah dialami dalam perdebatan itu,” ujar kenyataan Persekutuan Pertubuhan Islam di Switzerland.
Umat Islam membentuk lima peratus daripada penduduk Switzerland yang berjumlah 8.6 juta orang, dengan kebanyakannya berasal dari Turki, Bosnia dan Herzegovina dan Kosovo.
Menurut anggaran Universiti Lucerne, hanya kira-kira 30 wanita memakai niqab di negara tersebut.
Switzerland adalah salah satu daripada lima negara di mana penutup muka diharamkan. Perancis mengharamkan pemakaian tudung muka penuh di khalayak ramai pada 2011, manakala Denmark, Austria, Belanda dan Bulgaria mengharamkan sepenuhnya atau sebahagian daripada penutup muka dalam khalayak ramai.
Amnesty International pula melabelkan larangan menutup muka kerajaan Switzerland itu sebagai ‘dasar berbahaya’ yang melanggar hak wanita, termasuk kebebasan bersuara dan beragama. -HARAKAHDAILY 14/10/2022