Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kegagalan parti-parti politik dan pemimpin Melayu dan Islam untuk bermuafakat dalam politik akan mengakibatkan kuasa politik Melayu Islam seperti telur di hujung tanduk.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, berkata jika parti Melayu Islam yang dominan di Malaysia masih lagi gagal bersepakat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, beliau berharap rakyat dan ummat tidak dipersalahkan kelak.
“Ini kerana kegagalan pemimpin Melayu Islam lah yang gagal kerana tidak berjiwa besar untuk duduk bermusyawarah bagi membina pengukuhan hala tuju penyatuan ummah demi kepentingan dan kedaulatan agama, bangsa dan negara.
“Anehnya, pemimpin yang bukan Islam pula yang berjaya menyatukan blok mereka bagi menghadapi wadah muafakat ummat Islam dengan pelbagai cabaran pecahan fikrah politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Zai, pemimpin sepatutnya mengukuhkan visi dan membuat pertimbangan jauh dengan melihat masa depan ummat yang bersatupadu dan gemilang pada masa hadapan.
Katanya, hal ini kerana penyatuan hari ini perlu bermula untuk membina negara dan anak bangsa generasi masa depan.
“Kegagalan (muafakat) kali ini akan mengakibatkan kedaulatan bangsa melayu, agama Islam dan tanah air ini akan tergadai dan tersungkur buat selamanya.
“Di manakah harapan ummat akan disandarkan sekiranya pemimpin Melayu Islam sendiri mencipta pelbagai alasan dan dalih yang lunak bagi menatijahkan dan merasional perpecahan sesama sendiri?” katanya.
Menurut Mohd Zai lagi, jika matlamat dan kepentingan individu dilihat lebih utama mengatasi matlamat dan ajaran Islam sendiri, tidak mustahil ‘menang jadi arang kalah jadi abu’, dan ‘nasi menjadi bubur’.
“Apakah ummat akan mampu bangkit lagi berhimpun mega bagi mempertahan kedaulatan bangsa, agama dan negara, hanya masa dan sejarah yang akan menentukan dan merakamkan nya.
“Wahai sang pemimpin sedarlah, ummat sedang berada ditepi jurang perpecahan yang besar, diterajui nafsu pemimpin sendiri, balik lah semua kepangkal jalan kerana agamamu, bangsamu dan negaramu masih bisa diselamatkan lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2022