JDT hampiri musim tanpa kalah

Foto daripada Facebook JOHOR Southern Tigers.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 2022 Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan rekod tanpa kalahnya kepada 21 perlawanan selepas menang bergaya 4-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam tadi.

- Advertisement -

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan Sang Kenari hasil penyudah Wanja Ronald Ngah pada minit ke-45 sebelum JDT bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva pada minit ke-50.

Gol kedua pasukan bimbingan Hector Bidoglio hadir pada minit ke-63 menerusi jaringan sepakan separa voli penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Mohd Afiq Fazail.

Muhammad Syafiq yang merupakan bekas pemain Kedah terus menguatkan cengkaman JDT dengan  gol ketiga pada minit ke-68, sebelum Bergson menambah derita pasukan pelawat dengan jaringan keduanya pada minit ke-89 sekali gus mencipta rekod baharu penjaring liga dengan mengumpul keseluruhan 27 gol.

Keputusan itu sekali gus meletakkan pasukan JDT hanya satu perlawanan lagi bagi mengulangi pencapaian musim 2016 iaitu menamatkan musim sebagai pasukan tidak dapat dikalahkan, setelah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut awal bulan ini.

Sementara itu, perebutan tempat kedua dan ketiga antara Sabah FC, Negeri Sembilan dan Terengganu FC bagi mengesahkan tempat ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 terus rancak dengan hanya berbaki satu perlawanan perlu ditempuhi selepas masing-masing melakar kemenangan.

Sabah berjaya mengutip tiga mata penuh selepas mengatasi Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Setelah separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, babak kedua bersambung dengan aksi lebih sengit dan mengujakan apabila ketiga-tiga gol hadir pada penghujung perlawanan yang menyaksikan Andres Steven Rodriguez menanduk masuk bola untuk gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-85.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi pemain pertahanan kebangsaan Dominic Tan pada minit ke-89 sebelum Park Tae-Su meledak gol kemenangan pada masa kecederaan permainan untuk mengesahkan kemenangan skuad Sang Badak.

Pada masa sama, selepas mencatat kemenangan ke atas KDA FC minggu lepas, Negeri Sembilan FC sekali lagi mengulangi kecemerlangan dengan menewaskan Melaka United FC 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus terus mencabar kedudukan kelompok tiga pasukan teratas.

Skuad Hobin Jang Hobin bermula garang sebaik perlawanan bermula dengan asakan bertali arus ke kubu pertahanan Melaka United sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-34 hasil tandukan Ketua Pasukan Nasrullah Haniff Johan hasil satu sepakan sudut.

Pemain import Gustavo Almeida Dos Santos meletakkan Negeri Sembilan selesa mendahului 2-0 selepas meledak jaringan pada minit ke-86 dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Terengganu FC (TFC) turut meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 dengan jaringan Tchetche Kipre pada masa kecederaan babak pertama menjadi penentu kemenangan Skuad Penyu.

Terdahulu Manuel Ott meletakkan TFC di hadadapan pada minit ke-39 sebelum skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain selesa mendahului hasil penyudah Kipre, namun KL City FC berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi Romel Morales pada minit ke-64.

Dalam pada itu, jaringan tunggal Hein Htet Aung pada minit ke-71 memastikan Selangor FC meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian bekas Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Tan Cheng Hoe dan naik ke kedudukan kelima selepas mengatasi cabaran Sarawak United FC 1-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Petaling Jaya (PJ) City FC pula menewaskan pasukan tercorot Penang FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – BERNAMA

- Advertisement -