Siren bahaya di Parlimen Kapar

- Advertisement -

WARTAWAN akhbar The China Press membuat analisa berkenaan kerusi Parlimen Kapar, Selangor menjelang PRU15.

Kata beliau Parlimen Kapar yang kini mempunyai 131,831 pengundi berdaftar ibarat pintu buat kubu besar PH di Selangor. Kapar kata beliau adalah pintu kubu yang perlu dipertahankan, jangan sampai ditembusi. Kapar kini diwakili PKR.

Menurut beliau lagi jika berlaku kerjasama antara Umno dan PAS dalam PRU15 nanti Kapar berada dalam kedudukan yang sangat berbahaya.

Kerana jika Kapar roboh ia akan memberi kesan domino ke atas kawasan persisiran pantai Selangor dari Pelabuhan Klang sehinggalah ke Sekinchan.

DUN Sekinchan yang terletak dalam Parlimen Sg Besar merupakan kubu DAP di Utara Selangor, kawasan Speaker Ng Suee Lim yang dimenanginya dengan majoriti 2,844 undi.

Jika berlaku kerjasama Umno PAS menurut analisanya bukan sahaja Parlimen Kapar akan jatuh tetapi juga DUN Sekinchan.

Kapar ini dulu dimenangi calon PKR dengan majoriti besar 16,306 undi mengalahkan calon PAS dan BN.

Akan tetapi jika dilihat pada keputusan PRU berkenaan, kiranya dicantum undi Umno dan PAS dengan anggapan berlaku kerjasama calon MN berpotensi menang dengan majoriti 10,106 undi.

Malah bukan sahaja Parlimen Kapar dan DUN Sekinchan sekitar jajaran yang beliau sebut bakal jatuh,  Parlimen Kuala Selangor juga boleh tumbang dan beberapa DUN di sekitar 4 Parlimen dari Kapar ke Sg Besar itu. 

Demikianlah gerunnya mereka jika Penyatuan Ummah berjaya menyatupadukan parti-parti teras Melayu Islam, PH bakal tumbang di Selangor. Jangan persiakan kekuatan yang ada.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -