Petronas sumbang 1,000 khemah perlindungan mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Petronas mengagihkan dua bot dilengkapi enjin, tangki bahan api, serta kemudahan roda mudah alih kepada agensi penyelamat di Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

- Advertisement -

Selain itu Petronas turut menyumbangkan 1,000 khemah perlindungan mangsa banjir, 700 jaket keselamatan dan 7,000 baju hujan.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam usaha menyelamat mangsa banjir.

Katanya sumbangan yang disampaikan bagi membantu agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Selain Kelantan, sumbangan serupa turut diagihkan kepada negeri lain merangkumi 36 bot, 8,800 khemah, 5,500 jaket keselamatan dan 55,000 baju hujan.

“Ia adalah sebahagian daripada komitmen Petronas membantu mangsa banjir bernilai RM25 juta yang diumumkan pada Disember tahun lalu.

“Antara Januari hingga Julai tahun ini, Yayasan Petronas turut terbabit menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti kepada penduduk di Kepulauan Tumpat dan Mukim Ganchong di Pekan, Pahang,” katanya pada program tersebut.

Turut hadir dalam majlis penyerahan itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kol (PA) Mohd Adzhar Mujib. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -