FLORA ialah istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada tumbuhan-tumbuhan di sesuatu tempat. Apabila membincangkan mengenai alam tabii terma flora sering digandingkan dengan fauna yang merujuk kepada haiwan-haiwan yang hidup di sesuatu tempat. Oleh itu, adakah flora usus merujuk kepada tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam usus?
Berbeza dengan bidang ekologi, flora dalam konteks perubatan dan kesihatan merujuk kepada mikroorganisma atau bakteria yang wujud pada atau dalam badan manusia seperti flora pada kulit dan flora di dalam usus. Flora usus sering disebut dengan nama lain seperti ‘gut flora’, ‘gut bacteria’, ‘microbiata’, ‘microbiome’ atau ‘microflora’. Flora usus membentuk koloni di dalam usus besar dan di hujung bahagian usus kecil. Hal ini kerana perembesan bahan seperti asid perut, asid hempedu, dan enzim pankreas ketika proses penghadaman menghalang flora ini untuk hidup di dalam perut dan sebahagian besar usus kecil.
Flora usus memainkan peranan yang penting kepada kesihatan tubuh badan manusia dari sudut memberikan sokongan kepada sistem pertahanan tubuh dan metabolisme. Dari sudut menyokong sistem pertahanan tubuh, flora usus memainkan peranan yang penting dalam memastikan lapisan mukus pada dinding usus besar berada pada tahap optimum untuk melindungi usus besar daripada organisma asing berbahaya dan memudaratkan. Sekiranya flora usus berlebihan atau berkurangan lapisan mukus boleh terjejas sehingga menyebabkan ketelapan usus meningkat. Hal ini mendedahkan dinding usus kepada toksin, makanan yang separa hadam, dan bakteria jahat menembusi lapisan ini sehingga menyebabkan radang.
Dari sudut menyokong proses metabolisme badan, flora usus memainkan peranan yang penting dalam penyerapan karbohidrat yang tidak dicerna dan diserap di dalam usus kecil. Apabila karbohidrat tidak tercerna ini masuk ke dalam usus besar, flora usus ini menjalankan proses fermentasi sehingga menghasilkan produk sampingan iaitu asid yang dikenali sebagai ‘short chain fatty acid’. Asid lemak ini diserap ke dalam dinding usus besar. Dianggarkan 70 peratus daripada sumber tenaga bagi usus besar ialah daripada asid lemak yang dihasilkan melalui fermentasi oleh flora usus.
Ringkasnya, flora usus sangat penting kepada kesihatan tubuh badan manusia. Flora usus merupakan satu daripada pelbagai tanda kekuasaan Allah S.W.T pada diri manusia. Hal ini seperti yang disebut menerusi ayat 20 hingga 21 Surah al-Dzariyat yang bermaksud:
“Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”
Menyedari perkara ini manusia seharusnya menzahirkan sifat rendah diri dan menghindarkan perasan sombong kerana manusia hakikatnya makhluk memerlukan makhluk lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kewujudan flora usus ini sudah cukup membuktikan hal ini.
MOHAMMAD MUSTAQIM MALEK
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 11/10/2022
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0gfkzgnWf4VCMQi1vjEnqreuLqS6zqd9vofPkLsC3wZetHHwZbfL2S1jTutUbEcXMl&id=100064392321114
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!