Parlimen bubar, Malaysia masuki medan PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun ini atau tahun depan.

- Advertisement -

Dengan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen, mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pembubaran Parlimen, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan, menurut Perdana Menteri adalah bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Dalam pengumuman pada 3 petang itu, Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad, bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen Ke-14.

Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen, selain menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat, mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November.

SPR dalam kenyataan memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting PRU15, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari dibatalkan.

Setakat 8 malam, adalah diketahui bahawa hanya Perlis dan Perak yang ditadbir Barisan Nasional (BN) akan memohon perkenan Raja dan Sultan untuk membubarkan DUN masing-masing.

Sementara negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah PAS sebelum ini memutuskan tidak membubarkan DUN masing-masing.

Sabah telah mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept 2020, Melaka (22 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

Dalam pada itu, parti-parti politik seperti Umno dan PKR mula mengadakan mesyuarat masing-masing malam ini bagi mengatur strategi memasuki gelanggang pilihan raya yang mempertandingkan 222 kerusi Parlimen. – BERNAMA

- Advertisement -