Oleh M FAQIH
PERTAMA kali sejarah negara Perdana Menteri (PM) kemungkinan berdepan dengan konflik dengan kerajaan-kerajaan negeri apabila cadangannya supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar serentak tidak disambut.
Situasi itu tidak dapat ditolak memandangkan sebelum ini tujuh negeri sudah mengumumkan tidak akan membubarkan DUN akhir tahun ini.
Negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.
Ini bermakna dua blok parti politik iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tidak akan membubarkan DUN akhir tahun ini.
Pada 5 Oktober lepas negeri yang diterajui PH memuktamadkan tidak akan membubarkan DUN biarpun Perdana Menteri membubarkan parlimen.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan menumpu perhatian usaha membantu rakyat yang berdepan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.
Keputusan tersebut dibincangkan Majlis Presiden PH. Sebelum itu PAS mengumumkan negeri-negeri yang diterajui parti tidak akan membubarkan DUN akhir tahun ini.
Pada 25 September lepas Ketua Menteri Sabah Dato’ Seri Hajiji Noor turut menegaskan DUN Sabah tidak akan dibubarkan biarpun berlaku pembubaran Parlimen.
Menurutnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN masih mempunyai tiga tahun lagi untuk berkhidmat bagi tempoh penggal pemerintahan sekarang.
Ketika pengumuman khas tadi Ismail Sabri Yaakob mengsyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Peringkat Parlimen.
Katanya ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Berdasar kepada perkembangan sekarang bermakna hanya beberapa negeri sahaja yang sedia membubarkan Dun serentak dengan parlimen iaitu Pahang, Perlis dan Perak.
Sarawak juga dijangka tidak membubarkan DUN memandangkan pilihan raya negeri diadakan pada akhir tahun lepas.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, kemungkinan PRU dua kali bagi penggal ke-15 tidak dapat ditolak kerana banyak negeri mengumumkan tidak akan membubarkan DUN akhir tahun ini.
“Dalam situasi tertentu gerak kerja kempen lebih mudah kerana hanya menumpukan peringkat parlimen sahaja,” katanya di sini.
Perkembangan yang berlaku sekarang dilihat bukan menjadi titik penyelesaian konflik politik, sebaliknya mengundang kemelut lain pula.
PRU dua kali tentunya melibatkan peruntukan berkali ganda. Sedangkan sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 kira-kira RM1.01 bilion.
Jumlah itu dua kali ganda berbanding kos mengendalikan PRU14, iaitu kira-kira RM500 juta. Kos pengendalian PRU13 pula RM400 juta.
Cabaran besar tetap membelenggu Perdana Menteri biarpun baginya Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara seperti sudah berlalu.
Menurutnya apa yang berlaku itu memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi negara.
Biarpun Ismail memilih membubarkan parlimen bagi menamatkan teka teki sejak Khamis lepas, namun sekarang beliau berdepan dengan kemelut lain pula.
Ramai melihat tindakan Perdana Menteri sebagai tergesa-gesa kerana terpaksa akur kepada kehendak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Apa pun hari ini segalanya sudah tersaji di hadapan mata.
Berdasar kronologi sekarang kemungkinan besar hanya Pahang, Perak dan Perlis sahaja mengikut jejak parlimen. Kerajaan Keluarga Malaysia ternyata memilih bernoktah lebih awal. – HARAKAHDAILY 10/10/2022