Perbandingan dua protes dan dua kiblat

MEDIA antarabangsa melaporkan berita yang dibakar menjadi hangat berkenaan seorang wanita muda bernama Mehsa Amini yang tidak memakai tudung kepala (hijab), lalu telah diambil tindakan oleh polis akhlak di sebuah negara berjenama Islam iaitu Republik Islam Iran. Wanita muda itu diberitakan mati semasa dalam tahanan ketika soal siasat yang belum nyata sebab kematiannya sehingga kini.

Advertisement

Pihak Barat yang sangat anti terhadap jenama Islam terus melakukan provokasi dengan menggerakkan kalangan liberal yang masih bebas di Iran untuk melakukan demonstrasi ganas bagi mencetuskan revolusi baharu. Revolusi itu diharapkan menjadi alternatif kepada Revolusi Islam yang menjatuhkan Shah yang sangat pro-Barat dan melaksanakan budaya bebas kepada rakyatnya.

Mereka mahu mengubah semula Iran hari ini yang mewajibkan rakyatnya agar menutup aurat kepada Iran yang pernah bertelanjang seperti negara Barat. Sebenarnya, dalam kalangan negara Islam sendiri sangat berminat untuk kembali semula kepada jahiliah.

Setelah beberapa abad lamanya gagal memecahkan umat Islam dengan menggunakan isu pertembungan antara mazhab, kini isu lama itu dihidupkan semula oleh musuh dengan menjadikan Mazhab Syiah sebagai sasaran kerana telah berjaya menegakkan negara Islam yang dianggap mencabar. Lalu dinasihatkan kepada beberapa negara jirannya yang bermazhab Sunni dengan menganggap negara Islam itu sama bahayanya, dengan mendapat sokongan ulama’ rasmi kerajaan. Sekalipun negara tersebut tidak beramal dengan ajaran Islam Sunni yang sama wajib hukumnya.

Perbezaan mazhab yang sudah wujud dan mencetuskan peperangan pada zaman dahulu telah berjaya didamaikan sejak beberapa abad yang lampau. Begitu juga, pertelingkahan dapat diredakan dengan mengamalkan adab-adab ikhtilaf Islam yang sama.

Sebelum berlaku ketegangan terkini, beberapa orang pemimpin Barat membuat kenyataan akan bahaya Syiah kepada Sunni, kerana majoriti penduduk Asia Barat adalah Sunni dan mereka bersedia membantu dari sudut persenjataan dan ketenteraan bagi melawan pengaruh Islam ala Iran sehingga berlakunya Perang Teluk. Namun, usaha yang dilakukan itu menemui kegagalan. Kemudiannya, dicetuskan isu Islamofobia tanpa mengira mazhab, sama ada Sunni mahupun Syiah.

Menjadi kebiasaan mereka, apabila adanya jenama Islam yang dinyatakan tanpa mengira apa mazhabnya dijadikan sebagai suatu fobia. Apabila berlaku sesuatu perkara yang boleh ditafsirkan negatifnya walaupun belum nyata akan benar dan bohongnya, maka ia menjadi suatu peluang keemasan untuk melariskan berita. Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk di Malaysia, ada juga yang berjenama Islam ikut terpengaruh menjadi makmum mengaminkan surah yang dikeluarkan daripada Barat itu.

Baru-baru ini media antarabangsa ada melaporkan terdapat beberapa orang warga kulit hitam di Amerika Syarikat terbunuh disebabkan tindakan polis sendiri secara terbuka dan nyata. Berita itu telah dilaporkan oleh media dalam bentuk gambar dan melalui rakaman video.

Perbuatan itu dilakukan oleh polis di sebuah negara yang dikatakan paling demokrasi, memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia. Namun, tiada berita tindak balas daripada NGO di Malaysia dan negara-negara lain.

Sebaliknya, apa yang berlaku di Iran tiada bukti bergambar, malah pihak kerajaannya berjanji akan melakukan siasatan kematian Mahsa Amini yang belum diketahui punca kematiannya kerana masih terlalu awal. Terdapat banyak kemungkinan adakah wanita itu mati kerana diseksa, serangan penyakit dirinya, membunuh diri, atau salah laku pihak polis.

Namun begitu, pihak media terus melaporkan bahawa kerajaan Iran tetap dianggap bersalah. Iran dibelasah habis-habisan walaupun negara Barat itu dikatakan sangat menjunjung tinggi undang-undang dan badan kehakiman.

Tindakan wanita itu akibat tidak memakai pakaian menutup aurat ialah suatu kemungkaran yang wajib dicegah mengikut ajaran Islam yang diamalkan oleh semua mazhab dalam Islam, bukan sahaja Syiah, bahkan juga Sunni dan Ibadi. Tidak ada mazhab dalam Islam yang membenarkan pendedahan aurat yang diharamkan itu.

Adapun di negara Barat pula, membuka aurat termasuk dalam hak kebebasan bagi diri seseorang, bahkan ada negara Barat yang bertelanjang pun tidak menjadi kesalahan. Adakah kita mahu mengikuti fahaman yang salah dan sesat ini?

Sejarah Barat sangat berbangga dengan Presiden AS, Abraham Lincoln kerana memulakan langkah menghapuskan penggunaan hamba abdi yang kebanyakan mereka adalah berkulit hitam. Akibatnya, mendiang Presiden itu mati ditembak oleh rakyatnya sendiri.

Hakikatnya, al-Quran telah mendahului Barat lebih 1,000 tahun yang lalu sebagaimana yang diwahyukan oleh firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا  إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا ‌لَا ‌فَضْلَ ‌لِعَرَبِيٍّ ‌عَلَى ‌أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، إِلَّا بِتَقْوَى اللَّهِ.

“Ingatlah! Bahawa tiada kelebihan antara bangsa Arab dan bukan Arab, begitu juga bukan Arab dengan Arab. Tiada kelebihan antara yang berkulit hitam dengan yang berkulit merah, begitu juga antara yang berkulit merah dengan yang berkulit hitam, melainkan dengan sifat taqwa kepada Allah.” (Ibn al-Mubarak, Musnad Ibn al-Mubarak, no. 239)

Islam mewajibkan penjagaan hamba seperti menjaga seorang anak dalam keluarga. Sangat besar dosanya menzalimi seorang hamba abdi. Islam mewajibkan hukuman terhadap banyak kesalahan jenayah dan dosa besar dengan denda memerdekakan hamba serta fadilat pahala besar kepada sesiapa yang memerdekakan hamba abdi.

Akhirnya, perhambaan berjaya dihapuskan, bahkan mereka diasuh dengan ilmu Islam dan lain-lain ilmu sehingga berjaya melahirkan ramai tokoh ilmuwan. Bahkan, juga melahirkan para pemimpin dan raja negara umat Islam dalam sejarahnya berasal daripada hamba abdi.

Dalam masa beberapa abad sahaja, mereka dapat menggantikan bangsa Arab yang sudah ketinggalan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

﴿وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan menyerupai seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Dunia Barat hanya memiliki dua orang yang sangat dibanggakan iaitu Barack Obama dan Nelson Mandela. Sebaliknya, sejarah Islam mempunyai senarai yang sungguh panjang dan masih tidak tamat sehingga kini.

Demikianlah juga perbezaan dua kiblat dalam dunia hari ini. Antara Kaabah Rumah Allah di Makkah dengan Rumah Putih (White House) di Washington.

Allah SWT telah menetapkan konsep kiblat umat Islam melalui firman-Nya:

﴿لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ١ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ٢ فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ٣ الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ٤﴾

“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1); (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2); Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan (Pemilik) rumah ini (Kaabah). (3); Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” (Surah Quraisy: 1-4)

Ayat di atas menegaskan kiblat dalam ibadat, ekonomi dan politik, tanpa  menentukan apakah mazhabnya. Para ulama’ menamakan ‘Umat Kiblat’ kepada mereka yang menghadap ke arah yang satu iaitu Kaabah Rumah Allah di Makkah tanpa mengira mazhabnya.

Hal ini turut ditegaskan oleh sebuah kitab yang turut menjadi panduan golongan yang bermazhab Salafi dan Wahhabi:

‌وَلَا ‌نُكَفِّرُ ‌أَحَدًا ‌مِنْ ‌أَهْلِ ‌الْقِبْلَةِ ‌بِذَنْبٍ ‌مَا ‌لَمْ ‌يَسْتَحِلَّهُ.

“Kita tidak boleh mengkafirkan Ahli Kiblat dengan dosa selagi dia tidak menghalalkan yang haram (hukum yang nyata dalam al-Quran dan hadis mutawatir, yakni banyak riwayatnya yang sahih).” (Abu Ja‘far al-Tahawi, Matn al-Tahawiyyah, ms. 60)

Di sini menunjukkan betapa urusan menentukan kiblat ialah prinsip kesatuan umat yang penting bagi umat Islam tanpa mengira mazhabnya. Namun demikian, terdapat dalam kalangan umat Islam masa kini yang pemikirannya bercelaru dalam menentukan kiblatnya dengan cara yang tidak sempurna.

Kiblat solat dan hajinya ke arah Kaabah Rumah Allah di Makkah. Adapun kiblat politik, ekonomi dan media pula menghadap ke arah White House di Washington.

Allah SWT berfirman berkenaan perkara yang menyebutkan tentang media:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (kebenarannya) agar kamu tidak menimpakan musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)

Saya tetap bermazhab Sunni dan mempertahankannya tanpa melulu sehingga menyesatkan semua mazhab lain dengan mudah. Hal ini demikian kerana, sejarah para ulama’ Sunni yang bertaraf imam mazhab daripada kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali dan lain-lain bersahabat dengan para ulama’ Ahli al-Bait (Syiah) yang sezaman seperti Imam Ja‘far al-Sodiq, Musa al-Kazim, Imam Zaid bin ‘Ali, dan lain-lain.

Mereka sama-sama berjuang menentang kezaliman pada zaman masing-masing, bahkan berguru dan belajar sesama mereka. Umat Islam hendaklah membaca sejarah tiap-tiap imam itu. Bahkan, lebih daripada 100 orang ulama’ Syiah yang muktabar disebutkan riwayat mereka dalam kitab-kitab Sunni, begitu juga ulama’ Sunni dalam kitab-kitab Syiah.

Contoh yang lain, kitab syarah hadis yang terkenal bernama Subul al-Salam menjadi buku teks beberapa kuliah universiti di negara Sunni, kitab itu sebenarnya dikarang oleh Imam al-San‘ani yang bermazhab Syiah. Beliau mensyarahkan matan asal iaitu kitab Bulugh al-Maram karangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bermazhab Syafi‘i Sunni.

Tidak dinafikan, adanya amalan yang dinamakan bid‘ah yang melampau dalam kalangan penganut Syiah. Begitu juga, perkara yang sama turut berlaku dalam kalangan penganut mazhab Sunni.

Sepatutnya, perkara perbezaan mazhab diikuti dalam perbincangan para ulama’ melalui kitab-kitab yang muktabar dan muzakarah ilmu, bukannya dalam kalangan yang jahil. Lebih malang lagi, ada kalangan mereka yang mengikut nasihat negara Barat yang mempunyai kepentingan politik dan agenda memecahbelahkan umat Islam yang berbeza mazhab dan berbeza hukum furu‘ (cabang) dalam satu mazhab.

Adapun dalam perkara dasar dan rukun agama, umat Islam wajib bersatu padu serta menghadap hanya ke arah satu kiblat sahaja. Bukan sahaja dalam ibadat, malah dalam semua urusan hidup yang berada dalam petunjuk Islam yang sempurna.

Para ulama’ semua mazhab berusaha membetulkan penyelewengan yang berlaku dalam semua mazhab yang tidak boleh dibiarkan kepada kalangan yang jahil. Golongan yang jahil kerjanya hanyalah mencari kesesatan untuk dijadikan alasan menghukum kafir dan sesat terhadap pihak yang lain, bukannya berusaha menyelamatkan semua dengan petunjuk Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ  فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ  ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya), dan ulil amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Ulil Amri yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah para ulama’ dan umara’ (ilmuwan dan pemimpin).

Pihak Majma‘ al-Buhus al-Islamiyyah (مجمع البحوث الإسلامية) yang berpusat di Mesir bersama para ulama’ al-Azhar dan lain-lain telah berusaha bermuzakarah pada tahun 1960-an dan mengumpulkan sebuah ensiklopedia yang mengumpulkan pandangan mazhab-mazhab yang dianggap muktabar dalam berijtihad. Antara mazhab muktabar itu ialah mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali dan Zahiri daripada Sunni, Mazhab Imamiyyah dan Zaidiyyah daripada Syiah, serta mazhab Ibadi.

Kemudian, perkara itu disahkan pula oleh Muktamar Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali (مجمع الفقه الإسلامي الدولي) di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di Makkah pada tahun 1981. Malangnya, beberapa buah negara Islam dicatur oleh negara besar penjajah baharu sehingga OIC tidak berperanan.

Maka, dalam keadaan mana-mana negara umat Islam yang diceroboh atau dikacau oleh musuh Islam, maka umat Islam wajib bersama-sama mempertahankan Islam kerana Rasulullah SAW menyifatkan hubungan dalam kalangan umat Islam itu laksana satu jasad.

Isu Palestin dan Masjid al-Aqsa menjadi ujian buat umat Islam, apabila ada dalam kalangan negara Islam yang mempertahankannya dan ada pula negara yang melakukan normalisasi dengan negara haram Israel, sehingga melupakan kiblat pertama umat Islam dan kiblat terkini. Hal ini disebabkan kiblat negaranya ke arah White House, walaupun kiblat solat dan hajinya ke arah Makkah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rabi‘ al-Awwal 1444 / 9 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 9/10/2022