PDRM pantau rakyat Malaysia diekstradisi ke Amerika

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau kes seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang diekstradisi oleh Amerika Syarikat (AS) kerana dipercayai bersubahat menjalankan aktiviti pemerdagangan hidupan liar terancam dan pengubahan wang haram.

- Advertisement -

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata semakan mendapati tiada sebarang kesalahan dikesan dilakukan oleh Teo bersabit kes itu di Malaysia namun pemantauan akan terus dilaksanakan.

“PDRM dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang telah diekstradisi dan dituduh di Amerika Syarikat ekoran kesalahan pemerdagangan hidupan liar dan Akta Pengubahan Wang Haram (AS) pada 7 Okt 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara bagi membanteras jenayah penyeludupan haiwan liar.

Semalam media melaporkan AS mengekstradisi Teo yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS, Teo (bergelar Datuk Seri), 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000.

Menurut kenyataan itu, Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun lepas atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala dan dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa. – BERNAMA

- Advertisement -