Malaysia layak ke Piala Asia B-17 di Bahrain 2023

Pemain Malaysia girang meraikan jaringan gol ke atas Indonesia
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pasukan Bawah 16 tahun negara (B-16) menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2023 selepas mudah menewaskan tuan rumah, Indonesia 5-1 dalam perlawanan di Stadium Pakansari, Bogor, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan yang dibarisi sebahagian besar pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) muncul juara Kumpulan B dengan 10 mata dan menuju ke pusingan akhir di Bahrain tahun depan tanpa sebarang kekalahan pada kempen kelayakan kali ini.

- Advertisement -

Perlawanan menentang tuan rumah yang dijangka sengit menjadi sebaliknya apabila Malaysia mudah mendahului 5-0 selepas babak pertama berakhir.

Anak buah Osmera Omaro mendapat gol pertama pada minit ke-16 apabila Zainurhakimi Zain menghukum pertahanan Indonesia ketika pasukan tuan rumah bertali arus menyerang kubu Malaysia.

Tanpa perlu menunggu lama, tiga minit kemudian pada minit ke-19, giliran Arami Wafiy meledak gol kedua selepas pemain Indonesia kehilangan bola.

Barisan skuad Malaysia yang layak ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) di Bahrain

Pasukan Harimau Muda menambah jaringan apabila Anjasmirza menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-22, diikuti gol keempat menerusi Afiq Danish Zulkifli pada minit ke-26. Gol kelima pula diperolehi pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Arami.

Selepas sembilan minit babak kedua bersambung, Afiq Danish hampir menjadikan kedudukan 6-0 namun percubaannya terkena palang.

Pasukan tuan rumah kendalian Bima Sakti, akhirnya berjaya menjaringkan gol pada lewat permainan menerusi Arkhan Putra di hujung permainan. Namun tidak banyak yang boleh dilakukan kerana jurang perbezaan gol terlalu besar.

Keputusan ini menyaksikan pasukan B-16 negara beraksi di Piala Asia B-17 sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada 2018.- HARAKAHDAILY 9/10/22

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!